Bahana cemburu buta…

Bahana cemburu buta…

AYER KEROH 28 Feb. – Ekoran ‘cemburu buta’, seorang pencuci kereta dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, selepas bertindak mencederakan isterinya menggunakan topi keledar dan besi pengunci motosikal.

Tertuduh, Syed Mohd Norhasrul Tuan Rosely, 30, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Norma Ismail.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memukul Nurul Sakinah Azalan, 30, dengan sengaja sehingga menyebabkan mangsa cedera seluruh badan.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Jalan Ujong Pasir, Melaka, pada 9 Oktober tahun lalu kira-kira jam 8.30 pagi.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan hukuman dibacakan bersama Seksyen 326 A Kanun Keseksaan.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau sebat atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Intan Lyiana Zainal Abidin mencadangkan jaminan RM20,000 serta syarat-syarat tambahan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun tidak membuat sebarang rayuan.

Mahkamah menetapkan 22 Mac depan sebagai sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Terdahulu, difahamkan tertuduh bertindak memukul isterinya kerana menyangka dia keluar dengan teman lelaki lain, sedangkan wanita tersebut pergi membeli makanan.

CATEGORIES