Bangunan Perdana Putra jadi tumpuan ahli parlimen

Bangunan Perdana Putra jadi tumpuan ahli parlimen

PUTRAJAYA 25 Feb. – Bangunan Perdana Putra di sini, yang menempatkan pejabat Perdana Menteri,  menjadi tumpuan kehadiran ahli-ahli Parlimen sejak 10 pagi ini.

Tidak sampai sejam Tun Dr Mahathir Mohamad memulakan tugas sebagai Perdana Menteri interim, kenderaan-kenderaan ahli Parlimen dilihat memasuki pintu-pintu masuk Perdana Putra.

Antara yang dilihat memasuki bangunan berkenaan ialah Ahli Parlimen Pandan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang juga Timbalan Perdana Menteri dalam kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini, pada pukul 10.24 pagi ini.

Turut kelihatan memasuki kawasan Perdana Putra ialah kenderaan yang dinaiki Ahli Parlimen Gombak Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Ahli Parlimen Sembrong Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Ahli Parlimen Pagoh Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Turut kelihatan kenderaan rasmi Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, tiba di bangunan Perdana Putra kira-kira11.55 pagi.

Kenderaan membawa Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga dilihat keluar dari Perdana Putra pukul 12.38 tengah hari.

— BERNAMA

CATEGORIES