Bantu pelajar memerlukan : UTeM terima sumbangan zakat korporat Agrobank

DURIAN TUNGGAL 1 Feb. – Sebanyak RM33,400 sumbangan wang zakat korporat diterima Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) di sini, semalam.
Sumbangan zakat korporat dari pihak Agrobank itu telah disampaikan pihak Agrobank dalam satu majlis ringkas di bilik mesyuarat utama Bangunan Canselori, Kampus Induk UTeM.
Pihak Agrobank diwakili Pengurus Wilayah Melaka Johor, Md. Yasin A. Hamid; Ketua Perbankan Konsumer Wilayah Melaka Johor, Rizal Ibrahim dan Pengurus Cawangan Melaka, Ahmad Rosli Ali.
Sementara pihak UTeM diwakili Timbalan Naib Canselor Penyelidikan & Inovasi, Prof. Dr. Zulkifilie Ibrahim; Timbalan Naib Canselor Akademik & Antarabangsa, Prof. Datuk Dr. Mohd Razali Muhamad dan Bendahari UTeM, Khairul Taib.
Penyerahan replika cek RM33,400 itu disampaikan oleh Md. Yasin kepada Zulkifilie yang mewakili UTeM.
Zulkifilie bagaimanapun, mengucapkan terima kasih kepada pihak Agrobank yang memberi sumbangan itu untuk UTeM.
Katanya, wang zakat korporat itu akan disalurkan kepada golongan pelajar yang memerlukan bagi menampung perbelanjaan pengajian mereka di sini.
Jelasnya, bagi melancarkan pengagihan sumbangan itu, Pejabat Hal Ehwal Pelajar UTeM akan menguruskan pemberian zakat ini terus kepada pelajar yang layak.
Sementara itu, Khairul berkata, pihak Agrobank turut merangka aktiviti bersama UTeM bagi memberi manfaat kepada kakitangan dan pelajar.
“Ianya merujuk kepada pelbagai kemudahan dan peluang ditawarkan pihak Agrobank yang bersesuaian untuk dimanfaat dan memberi kebaikan kepada kedua-dua pihak,” katanya.