Bantuan lampin pakai buang diberi secara ‘one-off’

Bantuan lampin pakai buang diberi secara ‘one-off’

BUKIT BARU 21 Jan. – Kerajaan negeri masih berbincang menyelaras agihan bantuan lampin pakai buang kepada penerima bantuan itu di negeri ini.

Exco Wanita, Pembangunan Keluarga, Hal Ehwal Kebajikan & Orang Asli, Ginie Lim Siew Lin berkata, kerajaan negeri akan kaji semula kepada individu yang layak menerima bantuan itu yang telah diagihkan oleh Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) sebelum ini.

Katanya, pengagihan oleh Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) itu telah dibatalkan dan kerajaan negeri akan menganalisis semula data penerima sebelum diagih kepada inidividu layak.

Ujarnya, kira-kira 1,500 penerima bantuan lampin pakai buang sebelum ini telah menerima bantuan tersebut melalui peruntukan kerajaan negeri sahaja tidak termasuk agensi-agensi lain.

Jelasnya, beberapa agensi termasuk Badan Bukan Kerajaan (NGO), Pejabat Jabatan Perundangan Negeri (Japerun) serta agensi kerajaan lain turut menjalankan agihan berkenaan secara sukarelawan dan diseliakan di bawah agensi masing-masing.

“Kerajaan negeri akan selaraskan bantuan berkenaan kepada penerima dan akan mengagihkan secara ‘one-off’.

“Bantuan lampin ini hanya diselia oleh agensi berkenaan, malah Jabatan Kebajikan Masyarakat(JKM) tidak menyediakan bantuan ini, namun JKM hanya sediakan bantuan berbentuk wang tunai kepada golongan yang layak.

“Bantuan JKM ini telah disalurkan secara atas talian, malah ada antaranya diserahkan ke rumah individu yang tidak mampu menggunakan perkhidmatan atas talian seperti uzur dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Pusat Jagaan Ibu dan Bayi, AW Confinement Villa, dekat sini, semalam.

Turut hadir, Pengurus Besar AW Confinement Villa, Dr. Yew Cheng Yew.

Akhbar MelakaKini baru-baru ini, menyiarkan, kerajaan negeri melalui kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) negeri ini telah meluluskan peruntukan sebanyak RM1.4 juta bagi tujuan penyediaan lampin pakai buang
warga emas di seluruh negeri yang diagihkan melalui Pejabat Daerah.

Melalui peruntukan itu, sebanyak RM650,000 telah disumbangkan kerajaan negeri diikuti Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) yang menyumbang RM200,000, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) RM400,000 dan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), RM150,000.

CATEGORIES