Bayi lahir 25 minggu, sebesar tapak tangan ayah

MASJID TANAH 14 Mac – Kuasa ALLAH SWT tiada siapa yang dapat menidakkan. Seorang bayi lelaki pramatang di sini, layak digelar sebagai bayi istimewa apabila masih hidup biarpun lahir pada usia kandungan si ibu baru memasuki tempoh 25 minggu, dengan sebesar tapak tangan ayahnya.
Muhammad Akid Mohd Fazli yang kini berusia setahun dua bulan lahir dengan berat hanya 700 gram kini membesar dengan sihat sama seperti kanak-kanak seusianya.
Menceritakan kembali detik itu, Nur Syakilla Hamidi, 28, berkata, kelahiran anak keduanya itu sememangnya satu keajaiban tuhan mana tidaknya ketika usia kandungan 22 minggu doktor memaklumkan jika dia bersalin ketika itu juga, bayinya tidak dapat diselamatkan kerana terlalu kecil iaitu seberat 400 gram sahaja.
“Pada usia kandungan 22 minggu, saya rasa macam tak sedap kerana ada turun air dan hasil pemeriksaan ketika itu jalan dah buka 2 sentimeter. Doktor cakap kalau saya bersalin malam ni, anak tak dapat diselamatkan sebab bayi terlalu kecil.
“Ketika itu hanya ALLAH shaja yang tahu perasaan saya, siapa yang tak sayang anak…lagi- lagi kita dah rasa pergerakkan dia. Doktor dah jelaskan risiko dan beritahu pangkal rahim nampak nipis kalau nak buat cerclage(ikat rahim supaya bayi tak keluar). Malam tu doa tak putus- putus dan Alhamdulillah baby bertahan,” katanya ketika ditemubual MelakaKini, semalam.
Selepas dari itu Nur Syakilla atau lebih mesra dipanggil Kiela berkata, jarum dan ‘mulut itik’ sudah menjadi perkara biasa buat dirinya namun dia reda asalkan peluang untuk anaknya hidup masih cerah.
“Alhamdulillah, lepas tu saya terus minum susu agar baby cepat besar..tapi dari buat cerclage tu memang hari-hari darah fresh keluar, doktor tak bagi terlalu banyak berjalan sebab nanti lagi banyak darah keluar.
“Empat hari sebelum bersalin saya dah kena tolak labour room sebab darah fresh semakin banyak keluar, doktor monitor di sana, dia kata kalau boleh saya perlu bertahan sampai baby 28 minggu sebab peluang hidup tinggi sikit.
“Tapi kuasa ALLAH, pada 25 Disember 2017 (25 minggu) air ketuban pecah dan saya dah mula rasa kontraksi dan jalan sudah buka 5cm. Ketika itu doktor terus buka cerclage sebab tak nak bagi baby lemas dan rahim koyak…ketika itu hanya ALLAH sahaja yang tahu azabnya, hanya menangis yang mampu…akhirnya dengan sekali teran alhamdulillah Akid lahir dengan sebesar tapak tangan ayahnya,” katanya.
Menurut ibu muda itu, kali pertama melihat Akid yang diletakkan di dalam inkubator Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) selepas bersalin, hati keibuannya cukup tersentuh. Mana tidaknya, dengan tubuh berselirat wayar, dicucuk tangan dan kaki sememangnya ia meruntun kesayuan.
“Masa inilah baru mulanya cabaran dugaan yang menguji kita sama ada kuat atau tidak..hari pertama tengok Akid, tuhan sahaja tahu dengan badan yang merah menyala..doktor terang semua tentang Akid..air mata sahaja mengalir tapi saya perlu kuat agar Akid juga kuat.
“Bermulalah hari- demi hari melawatnya. Pantang? memang tidak sebab hari- hari saya perlu ke hospital. Biarpun jarak rumah jauh iaitu hampir 40 minit (Masjid Tanah- Hospital Melaka) namun semua itu saya tolak ke tepi demi Akid. Alhamdulillah genap 145 hari, Akid dibenarkan keluar hospital.
“Ya, Akid pernah ada masalah pendarahan kepala, jantung berlubang, paru- paru lemah dan macam- macam lagi…keluar masuk hospital sudah perkara biasa namun alhamdlillah kini semua dah tiada.
“Saya percaya kepada setiap yang dilalui pasti ada hikmah tersembunyi, berkat kesabaran dan semangat yang ditunjukkan Akid menunjukkan perkembangan positif. Berat badan semakin bertambah setiap minggu. Begitu juga dengan otot dan organ yang semakin sempurna,” katanya.
Sebelum mengakhiri perbualan, Kiela sempat berpesan supaya ibu hamil perlu mengelakkan dari tekanan, terlalu aktif dan perlu menjaga kandungan sebaik mungkin.
“Punca Akid lahir awal sebab pangkal rahim lemah, mungkin sebab saya terlalu aktif kerana ketika itu kerap ulang alik Kuala Lumpur- Melaka sebab kerja. sebab itu ssaya mahu berpesan wanita di luar sana supaya sentiasa berhati- hati, elakkan stress, terlalu aktif..sebab kita tak mahu benda- benda begini terjadi. Alhamdulillah Akid rezeki Kiela yang tidak ternilai.
“Empat bulan dalam incubator..hampir enam bulan baru keluar dari wad nurseri. Saya mohon orang ramai terus doakan Akid sentiasa kuat. Terima kasih doktor dan jururawat yang tak jemu menjaga sepanjang Akid di hospital. Hanya ALLAH yang dapat membalas jasa,” katanya.
Januari lalu, kisah Akid tular di media sosial apabila ibunya berkongsi pengalaman melahirkan anak pra matang dan cerita pengalaman tersebut mendapat 2,500 tanda suka dengan lebih 1,500 perkongsian.