Bekalan Air Berjadual: Industri pelancongan Melaka tidak terjejas

Bekalan Air Berjadual: Industri pelancongan Melaka tidak terjejas

MELAKA 18 Feb. — Pemain industri pelancongan di Melaka melihat pelaksanaan Bekalan Air Berjadual fasa kedua yang melibatkan sektor perhotelan dan perkilangan tidak menjejaskan industri itu kerana mereka telah bersedia dengan pelan kontingensi.

Presiden Persatuan Pelancongan Negeri Melaka Madelina Kuah Wey Lee berkata hampir semua premis khususnya hotel di negeri itu mempunyai tangki air berkapasiti besar yang mampu menampung keperluan penggunaan air pelancong yang menginap di hotel mereka.

Beliau berkata inisiatif kerajaan negeri yang memberi makluman awal berhubung Bekalan Air Berjadual sebelum ia dilaksanakan memberi ruang kepada pengusaha hotel dan pusat pelancongan menyimpan bekalan air.

“Setakat ini ia tidak memberi kesan besar kepada industri pelancongan pelbagai sektor di negeri ini dan program Bekalan Air Berjadual yang dilakukan selang sehari itu juga tidak menjadi masalah serius namun untuk jangka masa panjang kita tidak tahu kesannya.

“Rata-rata pemain industri telah bersedia menghadapi situasi ini dan memastikan mereka ada bekalan air yang mencukupi untuk kegunaan sewaktu Bekalan Air Berjadual dilaksanakan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Persatuan Pelancongan Negeri Melaka mempunyai kira-kira 80 ahli yang terdiri daripada sektor perhotelan, restoran, ejen pelancongan dan pusat pelancongan.

Melaka pada 29 Jan lepas melaksanakan program Bekalan Air Berjadual harian membabitkan 550,673 pengguna iaitu 62.8 peratus penduduk bagi memastikan bekalan air mencukupi menghadapi cuaca panas dan kering yang dijangka berakhir bulan hadapan, dan program itu diperluas ke fasa kedua pada 10 Feb, melibatkan sektor perhotelan dan perkilangan.

Kuah berkata setakat ini tiada rungutan atau ketidakpuasan hati diterima berhubung Bekalan Air Berjadual yang dilakukan di kawasan pelancongan kerana mereka sedia maklum tindakan itu tidak dapat dielakkan.

Katanya ahli persatuan itu khususnya yang terlibat dalam sektor makanan diminta sentiasa mengutamakan aspek keselamatan dan kebersihan bagi mengelak berlakunya keracunan makanan.

Presiden Homestay dan Kampung Stay Negeri Melaka Datuk Akhramuddin Abd Aziz berkata pengusaha inap desa yang terlibat dalam program Bekalan Air Berjadual telah dimaklumkan oleh Majlis Pengurusan Komuniti Kampung di kawasan masing-masing yang mengikuti taklimat daripada pihak Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) dan Badan Kawal Selia Air Melaka sebelum program itu dilaksanakan.

“Maklum balas yang saya peroleh, sembilan homestay di bawah persatuan ini antaranya Homestay Paya Lebar, Melaka Pindah, Kampung Morten, Alai dan Parit Penghulu setakat ini tidak ada masalah dan mereka beroperasi seperti biasa.

“Pengusaha yang mempunyai kolam renang juga memaklumkan mereka dapat menyediakan fasiliti itu seperti biasa dengan kualiti air bersih,” katanya.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Mansor Sudin berkata aspek kebersihan tandas awam di bawah pentadbiran MBMB khususnya di kawasan pelancongan terlibat dengan Bekalan Air Berjadual tetap menjadi keutamaan dan tiada kompromi terhadap kontraktor pembersihan yang memandang remeh aspek itu.

“MBMB mempunyai lebih 50 tandas awam di kawasan pentadbiran dan lebih 20 daripadanya terletak di kawasan pelancongan. Secara asasnya akan ada lori tangki yang akan membekalkan air ke tandas yang terjejas dengan Bekalan Air Berjadual yang dilaksanakan,” katanya sambil menambah tandas awam yang kotor dan tiada bekalan air akan ditutup sementara sehingga Bekalan Air Berjadual tamat.

Kawasan pelancongan yang dikenakan Bekalan Air Berjadual termasuk keseluruhan Jalan Bendahara, Jalan Jonker Walk, Jalan Taming Sari, bangunan Stadhuys dan Pulau Melaka melibatkan lebih 37 hotel dan 11 pusat beli-belah di sekitar bandar Melaka.

— BERNAMA

CATEGORIES