Bekalan air berjadual: Pemuda AMANAH tempelak sindiran Idris
Pembinaan Empangan Sungai Jernih gagal disiapkan pada Mei 2018, memaksa Melaka menggerakkan Program Bekalan Air Berjadual - Muhamad Khomeini

AYER KEROH 2 Feb. – Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) Melaka menempelak sindiran bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Idris Haron baru-baru ini berhubung isu catuan air yang melanda negeri ini.
Ketua Pemuda Parti itu, Muhammad Khomeini Kamal berkata, beliau seolah olah terlupa bahawa permasalahan itu berpunca daripada era pentadbiran kerajaannya yang gagal menyiapkan empangan baharu di Sungai Jernih, Lubok China.
Ujarnya, pembinaan yang dijanjikan siap pada Mei 2018 itu amat penting bagi menambung pertambahan bekalan air di negeri ini, namun ia tidak terjadi menyebabkan Melaka terpaksa menggerakkan Program Bekalan Air Berjadual.
“Kami ingin memberi respon terhadap sindiran Idris dan mengingatkan supaya jangan mudah-mudahnya menyalahkan kerajaan hari ini di atas kesilapan pentadbiran yang lalu.
“Bagaimanapun, kerajaan hari ini tidaklah pesimistik, sebaliknya bertindak proaktif dengan mempercepatkan pembinaan Empangan Sungai Jernih dan bakal melancarkan projek ‘Off River Storage’ (ORS) di Tasik Biru, Jasin dan dijangka disiapkan pada 2024.
“Inilah perbezaan ketara kerajaan Pakatan Harapan (PH) berbanding Barisan Nasional (BN) yang melaksanakan tindakan efektif, telus dan berkesan berbanding kerajaan terdahulu yang dilihat gagal dalam membela kebajikan dan nasib rakyat di negeri ini,” katanya kepada MelakaKini.
Pada masa sama, beliau berkata, catuan terpaksa dilaksanakan membabitkan seramai 550,673 pengguna atau 62.8 peratus penduduk di negeri ini, susulan cuaca panas dan kering melanda dalam fasa kedua Monsun Timur Laut yang dijangka berakhir pada Mac.
Malah jelasnya, permasalahan ini turut ditambah dengan kadar taburan hujan yang berkurang sejak dua tahun lalu berbanding sebelum ini yang disusuli dengan peningkatan sektor pembangunan yang pesat di Melaka.
“Penyaluran maklumat mengenai status dan catuan bekalan air secara berkesan penting dalam memastikan semua pihak terutama rakyat di negeri ini memahami langkah melaksanakannya demi menyeimbangkan bekalan air, seterusnya memastikan bekalan air berjadual itu berkesan.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar melakukan penjimatan air serta menyimpan bekalan air secukupnya, terutama di kawasan yang terlibat dengan program bekalan air berjadual.
“Kami turut menyambut baik saranan Mufti Negeri Melaka, Datuk Wira Abdul Halim Tawil agar umat Islam di negeri Ini terus menunaikan solat hajat dan berdoa agar diturunkan hujan terutama di kawasan empangan agar dapat dipenuhi untuk kegunaan rakyat,” katanya.