‘Bekalan baharu topeng muka tiba dalam masa terdekat’

Oleh FARAH SUHAIDAH OTHMAN
MELAKA 1 Feb. – Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka akan mendapatkan bekalan penutup hidung dan mulut dalam masa terdekat.
Ia susulan permintaan pengguna yang makin meningkat akibat kebimbangan masyarakat mengenai penularan wabak koronavirus.
Exco Kesihatan, Antidadah dan Perpaduan negeri, Low Chee Leong berkata, pihaknya turut menerima aduan mengenai bekalan alat perlindungan itu di pasaran.
Namun jelasnya, kekurangan bekalan topeng itu bagaimanapun, tidak termaktub di bawah kawalan penggunaan dan penjualan ubat-ubatan.
“Ia berdasarkan pasaran bekalan dan permintaan namun kita akan cuba mendapatkan bekalan baharu bagi memenuhi permintaan itu dalam masa terdekat,” katanya ketika dihubungi MelakaKini, di sini.
Mengulas lanjut, Chee Leong berkata, rakyat di negeri ini tidak perlu panik, sekiranya bekalan topeng muka tidak mencukupi sebaliknya mereka diingatkan supaya menjaga kebersihan diri dan mengamalkan gaya hidup sihat.
Katanya, pemakaian topeng muka bukanlah jaminan kepada rakyat untuk tidak dijangkiti sebarang penyakit.
“Sekiranya ada individu yang mengalami selesema atau batuk, mereka disarankan supaya memakai topeng selain mengamalkan minuman air yang banyak dan makan banyak sayur-sayuran serta melakukan senaman.
“Topeng muka dan hidung (face mask) yang terpakai jangan dibuang merata-rata sebaliknya balut dengan plastik dan masukkan ke dalam tong sampah yang tertutup,”katanya.
Menerusi laporan media dua hari lalu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi jaminan bekalan topeng muka mencukupi dan akan meningkatkan pengeluaran alat pelindung jangkitan itu.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, permintaan begitu tinggi dan bekalan semakin berkurangan berikutan banyak kilang ditutup sempena cuti sambutan Tahun Baru Cina.