Bekas Penolong Jurutera JKR didakwa terlibat gubah wang haram

Bekas Penolong Jurutera JKR didakwa terlibat gubah wang haram

AYER KEROH 12 MAC – Seorang bekas Penolong Jurutera Mekanikal di Jabatan Kerja Raya (JKR) didakwa di Mahkamah Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka di atas pertuduhan terlibat dengan pengubahan wang haram bernilai hampir RM190,000, dua tahun lalu.

Tertuduh Hairudin Ngadiron, 44, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas sembilan pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.

Mengikut kesemua pertuduhan, Hairudin yang ketika itu bertugas di Maktab Teknik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bakri, Muar, Johor, didakwa melibatkan diri dalam transaksi penggunaan wang tunai berjumlah RM187,898.20 hasil dari aktiviti haram bagi tujuan pelbagai perbelanjaan pengubahsuaian kediaman dan pembayaran menyelesaikan kes rasuahnya.

Kesemua perbuatan itu dilakukannya melalui sembilan transaksi berasingan di Kilometer 35, Kampung Parit Gantung, Sungai Rambai, Jasin antara Januari hingga Julai 2017.

Bagi kesalahan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda lima kali ganda daripada nilai suapan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohd Farez Rahman, manakala tertuduh diwakili Peguam Faidzal Latif.

Mohd Farez mencadangkan agar mahkamah mengguna pakai jumlah jaminan terdahulu selain memohon kesemua kes dibicarakan bersama.

CATEGORIES