Bekas staf MPHTJ didakwa pecah amanah lebih RM300,000

AYER KEROH 20 Mac – Seorang bekas Penolong Pegawai Tadbir Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, atas sembilan pertuduhan pecah amanah membabitkan wang berjumlah RM327,844.50.
Tertuduh, Nada Aimi A. Rahman, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan selepas jurubahasa membacakan kertas pertuduhan di dua prosiding berasingan.
Bagi pertuduhan pertama hingga enam yang dibacakan di hadapan Hakim Norma Ismail, wanita itu didakwa dengan curang melakukan pecah amanah sebanyak RM308,987 yang diamanahkan kepadanya melalui enam transaksi untuk kegunaan sendiri di Pejabat MPHTJ, Aras 2, Kompleks Melaka Mall, Hang Tuah Jaya antara tahun 2015 hingga 2018.
Semua pertuduhan disabit dengan Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara 10 tahun dengan sebatan dan denda.
Prosiding yang dikendalikan Timbalan Pendakwa raya, Haryatul Wirdah Mohd. Yunus mencadang wang jaminan sebanyak RM60,000 terhadap kesemua enam pertuduhan.
Namun Nada Aimi yang tidak diwakili peguam, merayu wang jaminan dikurangkan kerana tidak bekerja sejak 11 Januari lalu dan keluarganya tidak mampu membayar jaminan yang tinggi.
Selepas mendengar hujah dan rayuan kedua- dua pihak, Norma memutuskan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin.
Sementara itu, dalam prosiding berasingan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan, dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lee Wai Yi, tertuduh berdepan tiga lagi tuduhan pecah amanah mengikut seksyen yang sama.
Tertuduh didakwa melakukan pecah amanah membabitkan wang RM12,127.50; RM1,920; RM3,160 dan RM1,650 sekitar tahun 2017 hingga 2018 di MPHTJ.
Bagi ketiga-tiga pertuduhan, Wai Yi mencadangkan jaminan RM30,000 namun Elesabet menawarkan tertuduh jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin.
Kedua-dua mahkamah kemudian menetapkan 22 April depan sebagai sebutan semula kes.