Belanjawan 2020 Melaka penuhi janji-janji manifesto PH negeri

Semakin banyak janji berjaya dilunaskan dalam Bajet Melaka 2020

Belanjawan 2020 Melaka penuhi janji-janji manifesto PH negeri

BELANJAWAN 2020 Negeri Melaka telah pun selamat dibentangkan oleh Ketua Menteri, Adly Zahari pada Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 di Seri Negeri, Ayer Keroh semalam.

Dengan tema ‘Memakmurkan Rumah Kita’, ia merupakan pembentangan belanjawan kedua oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH) Negeri Melaka selepas membentuk negeri usai Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

Belanjawan kali ini adalah medan untuk kerajaan negeri menunaikan baki janji-janji manifesto PH negeri yang telah ditawarkan kepada rakyat negeri ini pra PRU pada 2018.

Laporan-laporan media memberikan peratusan yang berbeza terhadap pencapaian kerajaan negeri dalam melunaskan tawaran berkenaan.

Namun berdasarkan pemantauan oleh Institut Tun Perak (ITP) menerusi Polimeter.org untuk mengenal pasti pencapaian janji-janji manifesto tersebut, sebanyak 40 tawaran selesai dilaksanakan, 34 dalam proses pelaksanaan dan 12 masih belum dilaksanakan selepas 555 hari PH mengambil alih pentadbiran negeri.

Ini menunjukkan sebanyak 86 peratus daripada janji-janji manifesto PH telah dan sedang dilaksanakan oleh kerajaan negeri sebelum pembentangan Belanjawan 2020 Negeri Melaka.

Sebagai makluman, Polimeter.org dibangunkan oleh Covosoft Corp yang berpangkalan di Alberta, Kanada dan pada Oktober 2015 ia digunakan untuk memantau pencapaian Perdana Menteri Kanada yang baru dipilih, Justin Trudeau.

Secara ringkasnya manifesto PH mengandungi 86 janji di dalam 20 kategori untuk dilaksanakan dalam tempoh lima tahun (205).

JANJI-JANJI MANIFESTO TERTUNAI DALAM BELANJAWAN 2020

Adly sebelum ini dilaporkan berkata, kerajaan negeri akan memberikan fokus terhadap menunaikan baki janji manifesto PH negeri dalam Belanjawan 2020.

Berdasarkan pembentangan belanjawan yang telah dilakukan beliau, kerajaan negeri telah berjaya menunaikan janji-janjinya berdasarkan inisiatif-inisiatif yang telah diumumkan.

Berikut adalah sebahagian daripada sejumlah besar janji-janji manifesto yang berjaya dilaksanakan kerajaan negeri setakat ini.

MEMPERKENALKAN KAD PEDULI KESIHATAN NEGERI MELAKA

Kad Peduli Kesihatan Negeri Melaka akan diperkenalkan untuk menambah baik skim perlindungan kesihatan untuk golongan berpendapatan rendah (B40).

Kad tersebut membolehkan keluarga daripada kumpulan tersebut mendapatkan rawatan asas di klinik-klinik swasta berdaftar dengan had RM50 bagi setiap kali rawatan.

Had maksimum tahunan bagi penggunaan kad tersebut adalah RM300 bagi setiap keluarga.

Inisiatif ini sejajar dengan janji manifesto untuk mewujudkan skim Kad Melaka Sihat untuk warga yang layak.

 

BANTUAN SUSU FORMULA KEPADA PESAKIT TERLANTAR, PESAKIT OKU DAN WARGA EMAS

Mulai 2020, kerajaan negeri akan memberi bantuan susu formula kepada pesakit terlantar, pesakit Orang Kelainan Upaya dan warga emas melibatkan kos RM1.7 juta.

Bantuan tersebut memberi manfaat kepada 361 orang penerima sebagaimana janji manifesto untuk memberikan bantuan/insentif kepada pesakit-pesakit kronik.

MENERUSKAN PERKHIDMATAN BAS PERCUMA

Kerajaan negeri akan terus komited menyediakan perkhidmatan bas percuma demi keselesaan rakyat melibatkan laluan Melaka Sentral ke Melaka International Trade Centre, Melaka Sentral ke Hospital Melaka dan Melaka Sentral ke Pasar Besar.

Kerajaan negeri juga akan menambah baik pengurusan bas percuma bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan yang disediakan serta mampu berfungsi secara cekap.

Perkhidmatan bas percuma ini adalah seperti yang telah dijanjikan dalam manifesto untuk menyediakan bas percuma untuk laluan hotspot seperti dari Melaka Sentral ke Hospital Melaka dan Pusat Pentadbiran Kerajaan.

PINJAMAN PENDIDIKAN TINGGI BIASA DAN PEMBERIAN BIASISWA DAN BANTUAN PENDIDIKAN

Untuk tahun hadapan, kerajaan negeri akan meneruskan usaha membantu anak-anak Melaka mendapatkan pendidikan sempurna dengan memperuntukkan RM11.2 juta untuk pinjaman pendidikan tinggi biasa selain RM4.6 juta bagi pemberian biasiswa dan bantuan pendidikan seperti bantuan pelajar sekolah dan dermasiswa.

Ini menepati janji manifesto untuk menambahkan peruntukan biasiswa dan bantuan kepada pelajar-pelajar yang layak di semua peringkat.

MENGURANGKAN HUTANG AWAM KEPADA KERAJAAN PERSEKUTUAN

Menurut Adly kerajaan negeri telah berjaya mengurangkan hutang awam kepada Kerajaan Persekutuan berjumlah RM10 juta pada tahun ini.

Selain itu kerajaan negeri juga berjaya membayar hutang kepada Kerajaan Persekutuan berjumlah RM9.7 juta sehingga Oktober 2019.

Pengumuman itu menunjukkan kerajaan negeri berada di atas landasan yang betul dalam melunaskan janji manifestonya untuk berusaha membebaskan kerajaan daripada belenggu hutang.

MERASIONALISASI PENGURUSAN AGENSI DAN ANAK SYARIKAT KERAJAAN NEGERI MELAKA

Peranan dan fungsi 13 agensi, empat syarikat berhad menurut jaminan (CLBG), 65 anak syarikat dan 15 syarikat bersekutu akan dirasionalisasi semula bagi mempastikan tiada pertindihan fungsi dan peranan dan memantapkan struktur sedia ada.

Usaha ini adalah selari dengan janji manifesto untuk menstruktur semula syarikat-syarikat GLC yang lemah supaya menjadi syarikat yang berdaya maju.

MEMUDAHCARA PROSES PELABURAN

Kerajaan negeri telah dan akan menubuhkan dua buah jawatankuasa pemudah cara bagi mempercepatkan kelulusan dan pelaksanaan sesuatu projek, melaksanakan pusat khidmat setempat bagi memendekkan tempoh permohonan kelulusan dan menubuhkan jawatankuasa pengurusan kawasan perindustrian bagi memelihara kelestarian kawasan industri di Melaka.

Langkah tersebut bagi menjadikan Melaka destinasi pelaburan utama di Malaysia adalah berdasarkan janji manifesto menggalakkan pelaburan-pelaburan dengan insentif-insentif khas bagi meningkatkan pendapatan negeri.

MENAIK TARAF PRODUK SEDIA ADA DAN MEMPERKENALKAN PRODUK PELANCONGAN BAHARU

Kerajaan negeri akan memulakan kerja-kerja menaik taraf produk pelancongan seperti membaik-pulih ‘boardwalk’ Jalan Merdeka dan membaik-pulih Makam Hang Tuah di Tanjung Kling.

Selain itu produk-produk pelancongan baharu seperti pembukaan rangkaian gerai berkonsepkan ‘stree food’ makanan tempatan di Kampung Hulu dan ‘Melaka After Dark Night Walk’ di kawasan Tapak Warisan Dunia UNESCO dan Kampung Morten.

Pengumuman tersebut menepati janji manifesto mengekal, membaik pulih dan mewujudkan produk-produk baru pelancongan seperti Melaka City Festival dengan mempromosikan budaya kesenian warisan komuniti.

KERAJAAN NEGERI DI LANDASAN TEPAT PENUHI SEMUA JANJI

Satu fakta penting yang perlu diingati semua pihak ialah kerajaan negeri mempunyai tempoh lima tahun untuk melaksanakan segala janji-janji manifesto pilihan rayanya.

Namun berdasarkan pelbagai laporan media sebelum ini, kerajaan negeri berjaya menunaikan sebahagian besar daripada janji-janji tersebut walaupun baru mentadbir negeri kurang dari dua tahun.

Dengan pencapaian tersebut, kerajaan negeri sebenarnya berada di atas landasan yang tepat untuk melunaskan baki janji-janji yang masih tertangguh dalam tempoh beberapa bulan atau tahun akan datang.

Hakikatnya kerajaan negeri masih mempunyai masa lebih kurang tiga setengah tahun lagi untuk menunaikan segala apa yang telah dijanjikan kepada rakyat negeri ini.

CATEGORIES
TAGS