Belia Harmoni Melaka ceriakan pesakit kanak-kanak

PERINGGIT 18 Feb. – Persatuan Belia Harmoni Malaysia Melaka menganjurkan program Jalinan Harmoni bagi menyantuni pesakit kanak-kanak wad pediatrik di Hospital Besar, baru-baru ini.
Usaha tersebut bertujuan untuk memberikan sokongan dan semangat kepada pesakit di wad pediatrik, selain memupuk semangat mahasiswa institut pengajian tinggi (IPT) di negeri ini, agar prihatin dan peka terhadap isu-isu kemasyarakatan.
Pengarah program, Ariff Zuhaili Mohd Yunus berkata, program itu selari dengan matlamat persatuan untuk menjadi model sebagai aktivis yang peka dengan masyarakat.
“Lebih 32 pesakit di wad pediatrik disantuni dan pelbagai pengisian program direncana seperti sesi aktiviti ringkas, ziarah dan penyerahan cenderamata.
“Kali ini, ia melibatkan sukarelawan yang terdiri daripada mahasiswa IPT sekitar Melaka seperti Multimedia Universiti (MMU), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Kolej Perubatan Manipal, Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan lain-lain,” katanya ketika ditemui baru- baru ini.
Beliau berkata, program sedemikian dilihat mampu mengeratkan hubungan antara mahasiswa dengan masyarakat sekaligus mengurangkan stigma masyarakat bahawa aktiviti mahasiswa hanya di universiti sahaja.
Sementara itu, bagi Setiausaha Belia Harmoni Melaka, Nur Adila Asywaq, sebagai mahasiswa, aktiviti ziarah tersebut sepatutnya menjadi aspirasi aktivis mahasiswa lain dalam menyantuni pesakit pediatrik.
Peratuan Belia Harmoni adalah institusi mahasiswa yang berada di bawah seliaan IKRAM Muda iaitu sayap pemuda Pertubuhan IKRAM Malaysia.
Belia Harmoni dan IKRAM Muda berhasrat untuk meneruskan lagi program-program bercorak kesukarelawanan yang prihatin dengan situasi masyarakat.
Kepada warga Melaka yang ingin turut serta dalam program-program yang akan dianjurkan, boleh menghubungi melalui Facebook Belia Harmoni Melaka atau IKRAM Melaka.