Belia Melaka mahu tebus kekalahan

Belia Melaka mahu tebus kekalahan

DUA kekalahan berturut-turut pasukan bolasepak Belia Melaka ke atas pasukan Felda United dan Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP FC) selain keputusan seri 1-1 ke atas Kelantan dalam Kejohanan Piala Belia 2019 baru-baru ini tidak melunturkan semangat juang pemain.

Menurut Pengurus Pasukan Belia Melaka, Nick Yong Yoon Pin, beliau melihat kekalahan tersebut dalam konteks menyeluruh dan memberi ruang kepada pasukan untuk memperbaiki prestasi pada perlawanan akan datang iaitu perlawanan keempat menentang Selangor United.

“Walaupun kekalahan tersebut menjadi kelemahan pasukan, namun secara khususnya ia akan menjadi pembakar semangat untuk menghadapi perlawanan seterusnya nanti.

“Pada masa yang sama, kekalahan yang dialami itu tidak membuatkan penyokong dan pasukan melatah.

“Pada perlawanan ketiga Ahad lalu, kita seri 1-1 bersama Kelantan dan perlawanan akan datang bertemu Selangor United merupakan suatu cabaran buat anak-anak jurulatih Belia Melaka, Md. Noor Derus,” katanya kepada MelakaKini.

Menurutnya, cabaran pasukan adalah dengan mempertaruhkan tiga pemain simpanan apabila tiga pemain utama dipilih menyertai pasukan belia kebangsaan di bawah bimbingan jurulatih Bojan Hodak.

“Walaupun kehilangan tiga pemain utama, ini memberikan suatu tamparan yang hebat kepada pasukan Belia Melaka, namun saya melihatnya sebagai suatu peluang kepada pemain simpanan untuk mempamerkan bakat mereka.

“Kita akan berusaha untuk mendapatkan tiga mata dari pihak lawan dan berharap pemain-pemain simpanan yang bakal mengantikan pemain utama dapat bermain bersungguh-sungguh untuk pasukan Melaka,” katanya.

Sementara itu, Md. Noor akan melakukan ‘post-mortem’ bagi mengkaji dan mempertingkatkan semula struktur pemain, bukan sahaja dari segi perlawanan namun dari segi keputusan perlawanan.

“Kita akan lakukan rombakan pemain berikutan tiga pemain Belia Melaka dilepaskan untuk bersama skuad belia kebangsaan.

“Namun kita berharap, walaupun dengan ketiadaan ‘trio’ harapan itu, pasukan kita akan terus mencipta kemenangan pada perlawanan seterusnya. Ini peluang pemain simpanan untuk mempamerkan aksi cemerlang,” katanya.

https://t.me/melakakinidotmy

CATEGORIES
TAGS