“Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul”
Semoga dipermudahkan segalanya....

BUKIT BARU 7 Feb – ‘Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul’ itulah gambaran bagi pengorbanan seorang ibu di Bukit Pulau di sini yang terpaksa membesarkan anak bongsunya yang menghidap ketumbuhan dalam kepala.
Mariana Jalil, 37, dan suaminya Mazlan Abdul Jalil,54, tidak pernah mengeluh apatah lagi berputus asa demi membesarkan anaknya itu, malah sentiasa memberi kasih sayang yang sama rata dengan seorang lagi anaknya.
Mereka yang dikurniakan dua anak di mana anak sulungnya membesar seperti anak normal lain, namun Nafisyah Surayah,4, menghidapi ketumbuhan dalam kepala sejak usia setahun enam bulan.
Mariana berkata, keadaan bertambah sukar apabila suaminya disahkan menghidap strok hingga mengakibatkan dirinya tidak lagi boleh bekerja.
“Ibu mana yang tidak sedih apabila tahu anak ada penyakit begini, ditambah pula suami yang kena strok dan tidak boleh bekerja.
“Nafisyah (anak) memang nampak aktif dan normal seperti kanak-kanak lain, tetapi dalamannya hanya dia yang tahu bila sakit tu datang.
“Dia sering mengadu sakit pada saya, bila sakit tu dia akan cari bantal untuk letak kepala dia dan berehat,” katanya kepada MelakaKini.
Katanya, pada awal mengetahui anaknya ada ketumbuhan dalam kepada, sukar dia untuk menerima kenyataan kerana anaknya itu lahir dalam fizikal yang normal dan sempurna.
“Masa setahun enam bulan tu kita dapat kesan selepas dia mengadu sakit, ada sekali tu dia muntah dan hampir pengsan, kami bawa dia pergi hospital dan disitulah doktor sahkan dia ada ketumbuhan.
“Masa tu saya umpama tak boleh jejak tanah, tapi kehidupan perlu diteruskan untuk membesarkan dia dan kakaknya,” katanya yang bekerja di sebuah pasaraya terkemuka di sini.
Mariana berkata, sebelum ini Nafisyah telah melakukan pembedahan pertama pada tahun 2018 untuk memasukkan tiub di dalam badan anaknya.
“Doktor bagitahu selepas ni akan ada pembedahan kalau kedua, jika Imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) tiada masalah dan ketumbuhan tidak membesar kita akan buat pembedahan ini.
“Cuma doktor kata mungkin ada risiko kepada peti suara Nafisyah yang menjadikan dia bisu,” katanya dengan nada sedih.
Terdahulu, Ketua Menteri, Adly Zahari menyampaikan sumbangan kebajikan RM5,000 bagi meringankan beban Mariana sekeluarga.
“Harapan kita sumbangan ini dapat ringankan sedikit beban keluarga ini khususnya bagi mendapatkan khidmat kesihatan dan sebagainya.
“Pada masa sama, kita mahukan keluarga ini dapat memberikan pendidikan yang sempurna kepada anak-anak mereka,” katanya selepas Penyampaian Sumbangan Kebajikan Peruntukan YAB KM di Kampung Bukit Pulau, hari ini.