Beri sumbangan golongan memerlukan sambut Deepavali

Beri sumbangan golongan memerlukan sambut Deepavali

ADLY menyampaikan sumbangan kepada Orang Kelainan Upaya (OKU) pada Penyampaian Bantuan Deepavali JKM 2018 di Pasar Raya Mydin MITC, petang tadi.

AYER KEROH 30 Okt. – Kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM150,000 bagi menyalurkan sumbangan kepada golongan memerlukan sempena perayaan Deepavali
di negeri ini.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, peruntukan itu melibatkan 750 penerima sumbangan yang akan disalurkan mengikut Parlimen masing-masing.

Menurutnya, inisiatif itu merupakan salah satu tanggungjawab kerajaan negeri melalui peruntukan Tabung Amanah Negeri bagi membantu golongan tersebut.

“Hari ini, kita sampaikan bagi Parlimen Hang Tuah Jaya melibatkan lima Dewan Undangan Negeri (DUN) buat kaum India yang ingin menyambut Deepavali yang tidak lama lagi.

“Saya yakin usaha ini sedikit sebanyak dapat menceriakan mereka untuk meraikan perayaan itu bersama keluarga,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Penyampaian Bantuan Deepavali JKM 2018 di Pasar Raya Mydin MITC di sini, hari ini.

Jelasnya, kerajaan negeri dari semasa ke semasa berusaha meningkatkan bilangan penerima sumbangan yang layak di negeri ini.

“Kita cuba tambah lagi bilangan penerima sumbangan, hari ini kita berikan RM200 setiap seorang untuk mereka gunakan sempena Deepavali,” katanya.

Adly berkata, pelbagai inisiatif dilaksanakan kerajaan negeri sempena menyambut perayaan tersebut.

“Kita turut mengadakan karnival-karnival jualan di peringkat daerah termasuk di ‘Little India’ supaya dapat memberi peluang kepada usahawan-usahawan memasarkan barangan mereka.

“Begitu juga di Alor Gajah dan Jasin, ramai peniaga berpeluang menjadi usahawan sepanjang karnival ini diadakan,” katanya.

Hadir sama, Exco Wanita, Pembangunan Keluarga, Hal Ehwal Kebajikan dan Hal Ehwal Orang Asli, Ginie Lim Siew Lin dan lain-lain kenamaan.

CATEGORIES