Biawak 30kg gemparkan mahkamah

Biawak 30kg gemparkan mahkamah

BUTTERWORTH 2 Okt — Kehadiran seekor biawak seberat kira-kira 30 kilogram dalam longkang berhampiran kawasan tempat letak kereta Mahkamah Butterworth di sini, telah mengejutkan pengunjung mahkamah.

Ketua Skuad Angkatan Pertahanan Awam (APM) Seberang Perai Utara Koperal (PA) Abdul Aziz Ibrahim berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada 10.59 pagi memaklumkan terdapat seekor biawak sesat di longkang berhampiran kawasan tempat letak kereta mahkamah itu.

“Setibanya kami di situ mendapati biawak sepanjang kira-kira 1.5 meter ada di dalam longkang itu. Kami berjaya mengeluarkannya dari longkang tersebut menggunakan tali penangkap, namun tali penangkap itu terputus dan biawak berkenaan kemudiannya lari menyorok di bawah kereta polis yang diparkir di situ.

“Pihak kami cuba menangkapnya semula namun ia lari ke tempat letak kereta dan menyorok di bawah sebuah kereta yang diparkir di situ. Selepas hampir 20 minit kami berjaya menangkapnya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian, di sini hari ini.

Abdul Aziz berkata seramai empat anggota dikerahkan ke lokasi kejadian dan biawak itu dimasukkan ke dalam sangkar sebelum dibawa ke pejabat APM di sini untuk dilepaskan ke habitat asal haiwan berkenaan.

“Biawak itu merupakan yang paling besar dan panjang pernah kami tangkap sebelum ini,” katanya. — BERNAMA

CATEGORIES