Bilik penyusuan HAG janji perkhidmatan terbaik

ALOR GAJAH 9 Mac – Bilik Penyusuan Ibu dan Kanak- kanak yang diwujudkan di Hospital Alor Gajah (HAG) di sini, bagi memberi kemudahan kepada golongan ibu dan anak dengan perkhidmatan ditawarkan hospital itu.
Pengerusi Pertubuhan Amal Isteri Wakil Rakyat Pakatan Harapan (HARWANIS) Melaka, Dalilah Awaludin berkata, perlaksanaan itu memberi pelbagai manfaat kepada golongan terbabit melalui pelbagai kemudahan ditawarkan termasuk mampu memberi privasi kepada mereka.
Menurutnya yang juga isteri kepada Ketua Menteri, Adly Zahari, perkhidmatan tersebut turut mengadakan sesi kaunseling laktasi berkaitan teknik penyusuan sebenar kepada golongan ibu.
“Tahniah diucapkan kepada pengurusan hospital kerana mampu membuka sebuah perkhidmatan yang amat berguna kepada masyarakat, sekali gus mampu mendedahkan mereka terhadap kebaikan penyusuan ibu dan sebagainya.
“Perlaksanaan ini turut membuka satu inisiatif baharu kepada golongan wanita yang juga merupakan tunjang kepada generasi pada masa hadapan yang mampu membina negara bangsa yang disegani dan dihormati.” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Pelancaran Bilik Penyusuan Ibu dan Kanak-Kanak di Hospital Alor Gajah di sini, petang semalam.
Turut hadir, Exco Wanita, Kebajikan dan Pembangunan Luar Bandar, Ginie Lim Siew Lin.
Sementara itu, Siew Lin berkata, bilik penyusuan itu selaras dengan pengiktirafan yang diterima hospital berkenaan sebagai Hospital Rakan Bayi.
Ujarnya, ia mampu memberi kemudahan khususnya masyarakat di sekitar Alor Gajah dan Masjid Tanah dalam mendapatkan perkhidmatan kaunseling berkaitan masalah penyusuan bayi.
“Kakitangan di hospital ini bersedia memberi komitmen dan bimbingan kepada pesakit, malah mereka terdiri dari kakitangan profesional dan terlatih demi memberi perkhidmatan terbaik.
“Bilik ini sudah lama diwujudkan sejak 2013 bagaimanapun pelancarannya pada hari ini mampu membuka mata masyarakat, sekali gus memberitahu tentang perkhidmatan ini kepada mereka yang tidak mengetahui mengenainya,” katanya.