Bola tampar tertutup Balai Bomba Jasin Bistari tarik minat anggota sertai sukan

TIDAK hanya fokus terhadap tugas sebagai anggota bomba dan penyelamat, tetapi anggota Balai Bomba dan Penyelamat Jasin Bistari juga komited menganjurkan pelbagai program yang memberikan manfaat kepada anggotanya.
Ketua Balai Bomba & Penyelamat Jasin Bistari, Rahizam Ruzali berkata, aktiviti yang diadakan juga bertujuan mengisi masa lapang anggota terlibat.
Menurutnya, selain menggalas tanggungjawab besar terhadap masyarakat dan negara, mereka juga memerlukan sedikit ruang untuk melakukan aktiviti lain.
“Kerana itu Pertandingan Tertutup Bola Tampar di antara anggota Balai Bomba dan Penyelamat Jasin Bistari dianjurkan.
“Saya yakin ia dapat kurangkan tekanan anggota yang sentiasa melaksanakan tanggungjawab mereka sebaik mungkin,” katanya kepada MelakaKini.
Jelasnya, pertandingan itu juga antara aktiviti yang menjadi medium menarik minat anggota balai tersebut melibatkan diri dengan sukan.
“Sebelum ini, kami pernah mengadakan pertandingan badminton, kali ini kami mahukan kelainan dan sebab itulah kami memilih bola tampar.
“Saya gembira kerana setiap anggota memberikan kerjasama dan program ini berjalan lancar,” katanya.
Ujar Rahizam, setiap aktiviti mengikut kepada kesesuaian dan kelapangan anggota balai berkenaan.
“Kami susun aktiviti mengikut kepada hari-hari tertentu, misalnya jika tiada kes-kes melibatkan bomba,” katanya.
Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan Pegawai Kanan Bomba (PgKB) 1, Izwan Arif Mat Nor.
Sebanyak empat kumpulan iaitu dari Shif A, B, C dan D telah menyertai pertandingan tersebut.