Boling tertutup Kelab Kilat erat perpaduan keahlian

SERAMAI 159 peserta terdiri daripada ahli Kelab Kilat Melaka menyertai Kejohanan Boling Tertutup 2019 di Pusat Boling Antarabangsa Melaka (MIBC), Ahad lalu.
Kejohanan tersebut turut disertai kakitangan bahagian retail, distribution network, grid, warehouse dan Jabatan Perkhidmatan Keselamatan (JPK) Tenaga Nasional Berhad (TNB) seluruh Melaka.
Kejohanan yang berlangsung dalam dua frame itu dibahagikan kepada dua kategori dan dimenangi Zainudin Abd. Karim dari TNB Jasin kategori lelaki dengan jatuhan 366 pin, manakala Zaliah Md. Nayi dari TNB Alor Gajah berjaya mengungguli kategori wanita dengan 264 jatuhan pin.
Manakala skor tertinggi kategori lelaki disandang Mohd Nor Faizal Mustapa dan kategori wanita sekali lagi dimenangi Zaliah. Peserta juga turut berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah yang disediakan penganjur.
Antara lain, kejohanan tersebut diadakan bertujuan untuk mengeratkan lagi silaturrahim ahli-ahli Kelab Kilat Melaka di samping memupuk semangat bekerjasama selain menambah aktiviti kelab dari masa ke semasa.