Bomba dedah langkah keselamatan kebakaran

SELANDAR 15 Mac – Pelbagai inisiatif dilaksanakan Balai Bomba dan Penyelamat Jasin Bistari dalam usaha meningkatkan pengetahuan masyarakat ketika berdepan dengan kebakaran.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jasin Bistari, Rahizam Ruzali berkata, antaranya termasuk menganjurkan program Penduduk Muafakat, Kampungku Selamat di Balai Raya Pondok Kempas 2 di sini.
Menurutnya, antara aktiviti dijalankan seperti cara memadam kebaran dapur gas, cara menggunakan pemadam api dengan betul dan bagaimana memadam kebakaran di peringkat awal sebelum ketibaan bomba.
“Pendedahan ini sebenarnya sangat penting untuk membantu orang awam tidak panik berhadapan kebakaran.
“Dengan sedikit pengetahuan disampaikan, mungkin mereka akan lebih bersedia dan mampu bertindak dengan betul apabila kebakaran berlaku,” katanya kepada MelakaKini.
Jelas Rahizam, pendekatan tersebut diharap memberikan manfaat kepada penduduk terlibat.
“Selain dapat memberikan pendedahan mengenai situasi kebakaran, ia sekali gus merapatkan hubungan antara penduduk di sini bersama anggota bomba,” katanya.
Hadir sama, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Jasin Bistari, Pegawai Bomba Kanan I (PBK1) Es Lizan Nurhan Amir.
Turut diadakan latihan kebakaran, ceramah dan demonstrasi kebakaran.