Buang sampah: Pelancong bakal kena tindakan

AYER KEROH 20 Mac – Masalah sampah di negeri ini bukan sahaja melibatkan rakyat Melaka sebaliknya pelancong dan orang luar yang datang ke sini.
Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Datuk Tey Kok Kiew berkata, tindakan tegas akan dilaksanakan jika keadaan tersebut masih berterusan.
Menurutnya, kerajaan negeri memandang serius masalah tersebut dalam usaha memastikan Melaka kekal bersih.
“Kita perlu menguar-uarkan kepada orang luar bahawa sesiapa sahaja yang membuang sampah di merata tempat akan dikenakan amaran.
“Notis akan diberi bagi tempoh enam bulan, jika masih tiada kesan, barulah saman atau kompaun dikenakan,” katanya.
Ujar beliau, ia juga termasuk syarikat- syarikat yang menjalankan pembuangan sampah haram.
“Bagi kes seumpama ini, kita tidak akan sesekali memberi muka kepada pihak terbabit dan mereka akan terus dikenakan tindakan tegas,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan tambahan Datuk Seri Utama Idris Haron (BN-Sungai Udang) pada hari ketiga Persidangan Pertama Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri Melaka Ke-14 di Seri Negeri, hari ini.
Idris sebelum itu bertanya kepada Kok Kiew mengenai tindakan kerajaan terhadap masalah pembuangan sampah di negeri ini.