“Budaya dan nilai hidup antara penentuan kejayaan”

TANJUNG MINYAK 21 Feb. – Ziarah Cakna platform memberi kesedaran kepada ibu bapa pentingnya pendidikan kepada generasi hari ini.
Ketua Jemaah Nazir Sekolah (JNS) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Dr. Roziah Abdullah berkata, budaya dan nilai hidup antara faktor penting dalam menentukan kejayaan seseorang.
“Jika kita mempunyai daya tahan, daya saing, serta usaha berterusan, nescaya kejayaan dapat dicapai.
“Murid-murid perlu menguasai ilmu sebanyak mungkin. Hari ini, ilmu boleh diperolehi dengan mudah kerana sistem pendidikan di negara kita teratur,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Pelancaran Program Ziarah Cakna Peringkat Kebangsaan di Sekolah Kebangsaan Tanjung Minyak 2 (SKTM2), baru-baru ini.
Jelasnya, melalui program seperti ini, warga KPM boleh berkongsi pelbagai inisiatif kerajaan sekali gus memberi inisiatif.
“Kita perlu mendidik anak-anak supaya mereka belajar bersungguh-sungguh, terus berdaya saing dan tekad untuk keluar dari garis kemiskinan.
“Selain itu, perpaduan juga merupakan suatu elemen yang sangat penting untuk mengekalkan keharmonian rakyat dan keamanan negara,” katanya.
Hadir sama, Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Jamsari Mariman dan Guru Besar SKTM2, Ehsanudin Abd Jalil.