Bumi rata? Angkasawan Negara jawab persoalan

AYER KEROH 15 Feb. – Angkasawan Negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor tampil memberi penjelasan mengenai bentuk sebenar bumi seperti yang menjadi keraguan segelintir pihak.
Menurut Sheikh Muszaphar, sebagai Angkasawan Islam yang kesembilan menerokai angkasa lepas, adalah menjadi tanggungjawab beliau untuk menceritakan fakta dan pengalaman sebenar.
Sekalipun tidak merujuk kepada mana-mana pihak, namun penjelasan Sheikh Muszaphar itu dipercayai sebagai menyahut cabaran penyanyi nasyid, Suhaimi Saad untuk bersumpah dengan nama ALLAH SWT bahawa bumi berbentuk bulat sfera.
Bercerita pengalaman selama 12 hari pada 2007, Sheikh Muszaphar berkata, beliau terlalu kagum melihat angkasa lepas ciptaan ALLAH SWT sehingga sukar untuk digambarkan dengan kata-kata.
Dalam entri yang dimuat naik di laman sosial Instagram beliau berkata, berdasarkan pengalaman di angkasa lepas, beliau melihat bumi berbentuk sfera atau lebih tepat, geo-sfera selain tertumpu di kutub dan membonjol di garisan Khatulistiwa.
“Bentuknya bukan seperti bola, lebih seperti telur. Setiap orang harus ke angkasa lepas jika diberi peluang.
“Ia mengubah perspektif anda mengenai kehidupan secara total, menjadikan anda lebih yakin dengan Pencipta. Pengalaman (di angkasa lepas) sangat mengagumkan dan spektakular.
“Sukar sebenarnya untuk mengubah pemikiran golongan ‘flat earth’ (yang mempercayai bentuk bumi ini rata). Tetapi saya di sini berkongsi pengalaman terhadap apa yang saya lihat,” katanya.
Beliau turut berkongsi pengalaman mengelilingi bumi sebanyak 16 kali sehari.
“Setiap 45 minit matahari terbit dan terbenam mengelilingi Orbit dengan kelajuan 27000km/hr.
“Laungan Azan kedengaran seketika. Bibir terkumat kamit terpegun dengan kebesaran Ilahi. Melihat Bumi dengan mata sendiri. Degupan jantung berhenti seketika.
“Meremang bulu roma. Mata tidak terkebil melihat kebesaran Maha Pencipta. Amat sukar untuk digambarkan suasana di angkasa lepas,” katanya lagi.
oleh: Fiqa Jamal