Cadang bangun semula industri pertanian & perikanan di Taman Rimbunan Kaseh

Cadang bangun semula industri pertanian & perikanan di Taman Rimbunan Kaseh

AYER KEROH 4 Feb. – Kerajaan negeri akan berbincang bersama Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) berhubung pengambilan tanah di Taman Rimbunan Kaseh, Serkam bagi membangunkan industri pertanian dan perikanan di Melaka.

Exco Pertanian & Pembangunan Usahawan Industri Asas Tani, Norhizam Hassan Baktee berkata, pihaknya mendapati terdapat projek pertanian terbengkalai di kawasan berkenaan dan akan mengambil langkah bagi membangunkan semula.

Jelasnya, di kawasan berkenaan terdapat dua bangunan, dua kolam dan dua stor menyimpan jentera dibiarkan sehingga ditumbuhi semak samun.

Ujarnya, terdapat kerangka rumah hijau turut dibiarkan dan usaha membangunkan semula akan dirancang bagi menaikkan industri pertanian & perikanan di Serkam.

“Kita akan berbincang bangunkan semula tanah kira-kira 24 ekar di kawasan berkenaan dan pelbagai projek pertanian akan diseliakan di bawah dua pengusaha di kawasan tersebut.

“Projek ini meliputi pertanian tanaman fertigrasi serta penternakan ikan di kolam sedia ada mampu menjana pendapatan penduduk sekitar.

“Perbincangan ini melibatkan beberapa kriteria ditetapkan termasuk kertas kerja serta pelbagai lagi perlu dibentangkan sebelum ianya diluluskan,” katanya ketika ditemui MelakaKini di Seri Negeri, hari ini.

CATEGORIES