Caj kutipan pasar malam akan diurus MPKK – Mohd Rafiq

Caj kutipan pasar malam akan diurus MPKK – Mohd Rafiq

BUKIT RAMBAI 11 Feb. – “Kutipan dan pengurusan pasar malam di Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput hanya akan dibuat oleh pihak Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK),” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen.

Mohd Rafiq berkata, keputusan itu dibuat Pejabat Jawatankuasa dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Paya Rumput bagi mengatasi masalah perebutan hak dan tuntutan bertindih berkenaan caj kutipan pasar malam Taman Rambai Jaya.

“Penyeragaman itu (caj kutipan) akan dilaksana MPKK kawasan dan dipantau pihak Japerun bagi memastikan segala peruntukan kewangan termasuk keuntungan kutipan pasar malam tidak akan dimanfaat mana-mana individu.

“Ini kerana pihak Japerun juga ada mendapat aduan daripada penduduk DUN Paya Rumput tentang terdapat penyalahgunaan keuntungan wang kutipan pasar malam oleh pihak tertentu.

“Sebaliknya, semua kewangan MPKK akan dibelanjakan kepada program-program yang akan melibatkan pembangunan dan kemajuan kampung mahupun taman,” katanya pada satu kenyataan dikeluarkan, semalam.

Mohd Rafiq yang juga Exco Perindustrian, Perdagangan dan Pelaburan negeri menjelaskan mana-mana organisasi boleh bekerjasama dengan MPKK untuk menganjurkan sebarang program kemasyarakatan dengan menggunakan pendapatan daripada kutipan tersebut.

“Mana-mana organisasi boleh bekerjasama dengan MPKK untuk menganjurkan sebarang program kemasyarakatan dengan menggunakan pendapatan daripada kutipan itu untuk membiayai program-program diadakan.

“Sekiranya kutipan itu tidak mencukupi, Japerun sedia membantu menambah peruntukan kepada mana-mana organisasi yang berhasrat ingin menganjurkan program-program sedemikian di kawasan masing-masing,” katanya.

Baru-baru ini, sebuah video tular di media sosial apabila penganjur lama bertindak seperti samseng menghalau peniaga pasar malam dari beroperasi di kawasan terbabit sehingga mengundang ketidakpuasan peniaga.

Mohd Rafiq yang turut kesal dengan insiden itu berharap semua pihak termasuk Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Polis Diraja Malaysia (PDRM), MPKK dan penganjur pasar malam yang sah dan berlesen dapat memberi kerjasama dengan peniaga agar operasi pasar malam dapat dijalankan seperti biasa.

“Ia perlu dilaksanakan demi menjaga kebajikan peniaga kecil dan penduduk setempat.

“Sebarang aktiviti gangsterisme dan perbuatan keterlaluan ala samseng ini tidak harus dibiarkan berleluasa dan tidak boleh dikompromi di negeri ini demi keamanan, keselamatan dan kesejahteraan penduduk,” katanya.

CATEGORIES