Ceburi arena politik sejak usia 20 tahun – Chee Leong

Ceburi arena politik sejak  usia 20 tahun – Chee Leong

BANDARAYA MELAKA 18 Okt. – “Saya punyai tanggungjawab besar yang perlu dilaksanakan sebaik saja saya dilantik sebagai Exco Kesihatan Negeri Melaka.

“Saya juga berterima kasih kepada semua termasuk ahli keluarga saya yang memahami jiwa saya yang sangat minat dalam bidang politik,” kata Low Chee Leong.

Chee Leong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Laksamana berkata, dalam seminggu masa bersama keluarga sangat terhad dan ada setengah hari sahaja untuk keluarga.

“Saya mula menceburi dalam arena politik sejak berusia 20 tahun,” katanya semasa wawancara dalam rancangan ‘Kenali YB Anda’ di Stesen Radio MelakaFM setiap Khamis jam 8.30 pagi.

Segmen baru dalam rancangan radio MelakaFM itu diwujudkan sebagai wadah bagi ADUN mendekati masyarakat dan pengundi di kawasan mereka.

Rancangan itu telah bermula pada 4 Oktober lalu yang dirintis pembukaan siarannya oleh Ketua Menteri, Adly Zahari.

Ia dikendalikan di udara bersama penyiar atau DJ Fazz Norfazirah Rahman dan DJ Chot Hazmeer Hassan.

Manakala penerbitnya, Zainun Sulaiman, Mohammad Asrul Edzuandy Mustapa dan Penolong Jurutera, Mohd Saffuan Md. Shah.

Chee Leong berkata, Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Laksamana punyai kapasiti pembangunan yang luas.

Jelasnya, kawasan tersebut merupakan kawasan tarikan pelancong utama dan sudah dikategorikan sebagai ‘Muzium Hidup’ oleh UNESCO.

“Melawat DUN Kota Laksamana bererti Melawat Melaka,” katanya sambil disambut gelak ketawa oleh kakitangan Stesen Radio MelakaFM.

Sementara itu, Ketua Bahagian Rancangan Jabatan Penyiaran Melaka, A. Anisah Md. Yunos berharap rancangan yang disiarkan secara ceria, santai dan mesra itu dapat menarik pendengar dan penduduk Melaka.

Ujarnya, di samping itu rakyat negeri ini dapat mendekati Ketua Menteri (Adly) serta para anggota exconya.

Turut sama menyambut ADUN Kota Laksamana itu, Timbalan Pengarah Jabatan Penyiaran Melaka, Zainon Sabdin.

CATEGORIES