Chee Leong tawar subsidi RM100 pembelian kerusi keselamatan kanak-kanak

KOTA LAKSAMANA 20 Feb. – Pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Laksamana berpeluang menerima subsidi RM100 bagi pembelian kerusi keselamatan kanak-kanak bermula dari Januari hingga Jun 2020.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Laksamana, Low Chee Leong berkata, tawaran tersebut bagaimanapun terhad kepada 50 pemohon yang mematuhi syarat yang ditetapkan iaitu keutamaan kepada keluarga berpendapatan rendah atau sederhana (B40 & M40).
“Ia terbuka kepada pengundi di DUN Kota Laksamana dari golongan M40 dan B40) yang mana mereka hanya perlu mengisi borang yang disediakan di Pejabat Japerun serta menyertakan bukti pembelian kerusi keselamatan kanak-kanak.
“Kita akan membuka permohonan ini dari 1 Januari hingga 30 Jun 2020 sebagai usaha menggalakkan lebih ramai ibu bapa menitik beratkan aspek keselamatan anak-anak, khususnya ketika menaiki kenderaan,” katanya.
Selain subsidi berkenaan, Chee Leong berkata, pihaknya turut meneruskan program Tabung Bayi Harapan DUN Kota Laksamana dengan memberikan RM200 kepada bayi baru lahir di kawasan berkenaan.
Menurutnya, sejak Mei 2018 hingga Disember 2019, sebanyak 53 permohonan telah berjaya melibatkan jumlah keseluruhan sebanyak RM10,600 telah diagihkan.
Selain itu, jelasnya, sebanyak RM80,000 juga telah diperuntukkan pada tahun ini untuk diagihkan kepada sekolah-sekolah yang ada di DUN Kota Laksamana.