Cheng Hoe belum muktamadkan pemilihan Sumareh – Hamidin

Cheng Hoe belum muktamadkan pemilihan Sumareh – Hamidin

PEMILIHAN naturalisasi, Mohamadou Sumareh ke kem Piala Suzuki AFF 2018 masih belum dimuktamadkan dan akan diserahkan sepenuhnya kepada Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, biarpun nama Mohamadou Sumareh diumumkan untuk menghadapi tiga perlawanan persahabtan antarabangsa A, namun segalanya terserah kepada Cheng Hoe.

“Sama ada beliau berjaya mendapat tempat dalam pasukan kebangsaan akan ditentukan sepenuhnya oleh pengendali, Cheng Hoe berdasarkan aksinya dalam perlawanan berkenaan.

“Semua pemain yang dipanggil ini dalam kem latihan pusat sebagai proses penyediaan serta persediaan terakhir bagi mendapatkan 23 pemain terbaik untuk dibawa ke Piala Suzuki AFF 2018 nanti dan diketahui selepas aksi terakhir bertemu Maldives,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan Kunjungan Hormat ke Pejabat Yang Dipertua negeri, Tun Dr. Khalil Yaakob di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd. Yusoff Mahadi.

Skuad Harimau Malaya dijadualkan bertemu Sri Lanka di Colombo pada 12 Oktober dan Republik Kyrgyz di Stadium Hang Jebat, Melaka pada 16 Oktober seterusnya perlawanan persahabatan menentang Maldives di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 3 November depan.

Perlawanan persahabatan antarabangsa itu merupakan pentas persiapan akhir Harimau Malaya sebelum menghadapi Piala Suzuki AFF 2018 yang berlangsung dari 8 November hingga 15 Disember depan.

Harimau Malaysia telah diundi dalam Kumpulan A bersama Kemboja, Laos, Vietnam dan Myanmar.

CATEGORIES