Chikungunya: tiada kes dikesan sejak 2009

AYER KEROH 27 Feb. – Melaka bebas dari penyebaran wabak penyakit chikungunya sejak 2009, jelas Exco Kesihatan dan Anti Dadah, Low Chee Leong.
Katanya, kes yang tular di media sosial baru-baru ini berkaitan wabak chikugunya yang berlaku di Taman Dato’ Abdul Aziz, Umbai tiada kaitan dengan wabak tersebut.
Beliau memberitahu, hasil pemeriksaan secara bersepadu yang dilakukan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka di taman terbabit mendapati tiada simptom kes berkenaan.
“Lanjutan pemeriksaan yang dilakukan, pihak Jabatan Kesihatan telah mengeluarkan 25 kompaun kepada penduduk dan tiga notis pembersihan kawasan di taman terbabit.
“Selain itu, gotong- royong juga turut diadakan bagi menghapuskan tempat-tempat pembiakan nyamuk Aedes dan kawalan ULV serta pemantauan juga telah ditamatkan pada 6 Februari lalu.
“Sehubungan itu, Jabatan Kesihatan Negeri Melaka tidak mencatatkan sebarang kes chikungunya sejak sepuluh tahun lalu,” tegasnya.
Chee Leong memberitahu, bagi membantu pihak berkuasa dalam menangani wabak penyakit, masyarakat disarankan agar membersihkan persekitaran kawasan rumah supaya bebas dari tempat-tempat pembiakan nyamuk Aedes.
“Ini boleh dilakukan melalui aktiviti gotong- royong.
“Pada masa yang sama, periksa rumah dan persekitaran sekurang-kurangnya seminggu sekali untuk memastikan tiada tempat pembiakan nyamuk Aedes dan dapatkan rawatan dengan segera di klinik atau hospital berdekatan sekiranya mengalami tanda dan gejala penyakit berkenaan,” katanya.