Covid-19: Bank rakyat China tawar lebih banyak sokongan kredit

BEIJING 20 Feb. – Mengawal dan mencegah wabak Covid-19 kini menjadi agenda utama Bank Rakyat China (PBOC), antara lain dengan menawarkan lebih banyak sokongan kredit, lapor agensi berita Xinhua.
Bank itu akan membantu syarikat-syarikat yang berdepan kesukaran akibat wabak itu, dengan menurunkan kadar faedah pinjaman, meningkatkan sokongan kredit dan menyediakan lebih banyak pinjaman jangka sederhana dan panjang, kata PBOC.
PBOC dalam satu laporan berkata wabak itu memberi kesan ke atas ekonomi China, tetapi untuk jangka masa pendek dan tidak mengubah fundamental ekonomi negara yang kukuh.
Menurut bank pusat itu pihaknya akan memantau turun naik harga pengguna dalam jangka pendek, sambil menambah “tidak ada asas untuk inflasi jangka panjang atau deflasi.”
Di samping itu, bank pusat akan terus melaksanakan pembaharuan pertukaran dan kadar faedah untuk menjadikannya lebih berorientasikan pasaran, selain memperkukuh pengurusan macroprudential untuk mengekalkan pertukaran yuan pada kadar munasabah dan seimbang.
— BERNAMA