Covid-19: KM arahkan semua Exco jalani saringan kesihatan

MELAKA 19 Mac – Kerajaan negeri mengarahkan semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) untuk menjalani saringan kesihatan bagi memastikan mereka bebas daripada wabak Covid-19 (koronavirus).
Ketua Menteri Datuk Sulaiman Md. Ali berkata, tindakan itu dibuat bagi memastikan kesemua mereka berada dalam keadaan sihat ketika menjalankan urusan rasmi dan bertemu rakyat.
Beliau berkata, saringan itu dibuat memandangkan barisan Exco adalah individu penting dalam mengurus dan mentadbir Kerajaan Negeri Melaka.
“Kerajaan negeri memohon saringan kesihatan dilakukan kepada barisan Exco dibuat sebagai langkah keselamatan penularan wabak Covid-19.
“Ianya akan dibuat dalam kadar segera dan pemeriksaan akan dilakukan di Seri Negeri,” katanya pada sidang media pasca Exco, di sini, hari ini.
Selain itu, Sulaiman turut menyeru agar penduduk negeri ini patuh akan Akta Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi mengelak berlakunya keadaan yang lebih kritikal.
Mengulas lanjut, beliau berkata, selaras dengan arahan itu, kesemua 786 tempat pelancong di negeri ini juga diarahkan menghentikan operasi sementara sehingga 31 Mac depan.