Covid-19: Semua fasiliti awam Melaka ditutup sementara – KM

Covid-19: Semua fasiliti awam Melaka ditutup sementara – KM

AYER KEROH 18 Mac – Kesemua fasiliti awam kerajaan Melaka akan ditutup sementara bermula hari ini sehingga 31 Mac depan.

Jelas Ketua Menteri, Datuk Sulaiman Md. Ali, arahan itu dibuat selaras di bawah Akta Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967 bagi mengurangkan perhubungan individu secara bersemuka untuk mengelakkan penularan wabak pandemik Covid-1d (koronavirus).

Katanya, perintah itu turut terpakai kepada semua penduduk di Negeri Melaka termasuk Penjawat Awam.

“Perintah ini melibatkan penutupan semua premis kerajaan dan swasta kecuali yang terlibat dengan perkhidmatan penting negara (essential services) iaitu air, elektrik, tenaga, telekomunikasi, pos, pengangkutan, pengairan, minyak, gas, bahan api, pelincir, penyiaran, kewangan, perbankan, kesihatan, farmasi, bomba, penjara, pelabuhan, lapangan terbang, keselamatan, pertahanan, pembersihan, peruncitan dan bekalan makanan.

“Penganjuran atau keterlibatan dalam program lawatan di dalam dan luar negeri atau negara, aktiviti keagamaan, sosial dan budaya serta program peribadi (riadah, bersukan, mengunjungi dan makan di restoran/ kedai makan, majlis keraian dan apa-apa majlis yang melibatkan perkumpulan orang ramai) juga adalah tidak dibenarkan.

“Pejabat Ketua Menteri Melaka akan beroperasi seperti biasa. Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) kali pertama juga akan diadakan mengikut jadual,” katanya menerusi kenyataan media sebentar tadi.

Sementara itu, selari dengan usaha yang dikendalikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Sulaiman turut menyeru semua pihak termasuk orang ramai untuk sama-sama membantu dan bekerjasama bagi menyekat penularan wabak ini.

“Saya juga berharap agar semua petugas dan masyarakat supaya menjaga kesihatan diri sepanjang masa serta mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh KKM.

“Sebarang maklumat terkini untuk tindakan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” jelasnya.

CATEGORIES
TAGS