Cuaca panas : Melaka pantau bekalan air

AYER KEROH 4 Mac – Rakyat di negeri ini tidak perlu khuatir berdepan krisis bekalan air biarpun cuaca panas dan kering melanda negara pada masa kini.
Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, ketika ini belum ada perancangan untuk melakukan catuan air
biarpun bekalan air empangan di negeri ini mencatatkan pengurangan sehingga 70 peratus minggu lalu.
Beliau berkata, kerajaan negeri bagaimanapun akan terus membuat pemantauan ketat dari semasa ke semasa bagi memastikan bekalan air di negeri ini mencukupi.
“Kita memang terima air dari Johor, jadi kita cuba tingkatkan kadar pengambilan air tersebut untuk meningkatkan paras air di empangan.
“Kita sedang rangka pelan tindakan, bagaimanapun strategi kita adalah untuk mendapatkan sumber air yang cukup,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Projek Menaiktaraf Jalan Ayer Keroh Ke Bandar Melaka (Fasa 1: Persimpangan Peringgit dan MITC) di Jalan Tasik Ayer Keroh, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd Anuar Mohd Tahir; Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam, Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab; Exco Komunikasi, Multimedia, NGO, Pembangunan Belia dan Sukan, Kerk Chee Yee.
Ujarnya, kerajaan negeri akan memastikan sumber air diperolehi dengan mencukupi bagi mengelakkan krisis bekalan air di negeri ini.