DAP Melaka gesa pihak berkuasa siasat kenyataan berunsur fitnah oleh bekas Ketua Polis Negara

"Pada pandangan saya, beliau bukan sahaja merosakkan imej DAP, tetapi juga merosakkan keharmonian dalam negara ini," - Chee Yee

DAP Melaka gesa pihak berkuasa siasat kenyataan berunsur fitnah oleh bekas Ketua Polis Negara

Oleh FARAH SUHAIDAH OTHMAN

AYER KEROH 2 Feb.- Parti Tindakan Demokratik (DAP) Melaka menggesa pihak berkuasa menyiasat Tan Sri Musa Hassan susulan kenyataan berunsur fitnah yang dikeluarkan bekas Ketua Polis Negara itu yang mengaitkan parti terbabit dengan ideologi komunis di negara ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Keroh, Kerk Chee Yee berkata, beliau menerima video berdurasi lebih satu jam mengandungi ucapan Musa dalam sebuah forum di institut pengajian tinggi (IPT) pada malam tadi menerusi kiriman aplikasi Whatsapp.

Beliau berkata, menerusi dalam video terbabit, Musa mengeluarkan kenyataan bahawa DAP mempunyai niat untuk menghidupkan ideologi komunism di negara ini, malah turut mendakwa parti itu mahu mewujudkan negara republik di Malaysia,

Beliau dalam masa sama, berkata, bekas Ketua Polis Negara itu juga menuduh DAP mahu merosakkan agama Islam di Malaysia.

“Saya telah membuat petikan dalam ucapan (Musa), dalam minit ke-52 , salah satu ayat yang disebut Musa adalah ‘terdapat banyak sokongan daripada ahli politik terutamanya DAP’

“Contoh kedua dalam minit ke-56, “oleh kerana mereka mahu membawa pulang semua ideologi ini (komunis), mereka ingin mewujudkan negara ini sebagai negara republik semasa mereka jadi parti pembangkang dahulu, itu pasal Sultan-sultan semua dihina.

“Dalam minit ke-57, Musa berkata mereka (DAP) ingin merosakkan agama Islam dalam negara ini, mereka juga berkaitan dengan kumpulan ‘evangeslist,’ mereka juga berkaitan dengan yahudi untuk merosakkan negara ini,” katanya ketika ditemui pada sidang di pejabat DAP Ayer Keroh, di sini hari ini.

Beliau yang juga Exco Komunikasi, Multimedia, Badan Bukan Kerajaan (NGO), Pembangunan Belia dan Sukan negeri, berkata, kenyataan yang dikeluarkan Musa itu disifatkan sebagai fitnah dan tidak bertanggungjawab.

“Pada pandangan saya, beliau bukan sahaja merosakkan imej DAP, tetapi juga merosakkan keharmonian dalam negara ini.

“Susulan itu, menerusi laporan polis dibuat pada hari ini saya berharap tindakan sewajarnya diambil terhadap kenyataan tersebut dan meminta Tan Sri Musa Hassan memohon maaf secara terbuka di atas kenyataan beliau yang tidak berasas serta meracuni minda anak muda kita,” katanya.

Chee Yee berkata, setakat ini menerusi video yang turut disiarkan dalam laman UiTM – Media Rasmi mendapat 200 hingga 300 perkongsian dan telah ditonton kira-kira 12,000 warganet.

“Sebagai seorang ‘public figure’, beliau seharusnya mengeluarkan kenyataan yang lebih bertanggungjawab dan berasas.

“Bukan seperti ini, terutama beliau mengeluarkan kenyataan itu dalam satu forum di sebuah universiti,” katanya.

Berhubung perkara itu, satu laporan polis turut dibuat di Balai Polis Ayer Keroh pada jam 1 petang, semalam.

CATEGORIES