Dari 2016 hingga 2018 : RM24,695 barangan palsu dirampas KPDNHEP

Dari 2016 hingga 2018 : RM24,695 barangan palsu dirampas KPDNHEP

AYER KEROH 30 Jan. – Sebanyak lapan kes direkodkan melibatkan peralatan komunikasi dan aksesori dirampas sejak tahun 2016 hingga 2018.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka, Azeem Nazuri berkata, rampasan berkenaan dicatat bernilai RM24,695.

Katanya, ia membabitkan barangan palsu yang dirampas sepanjang operasi dijalankan oleh agensi tersebut.

Ujarnya, kes terbabit akan disiasat di bawah Akta Perihal Dagangan (APD) 2011 disebabkan membekal atau menawar untuk membekalkan, barangan yang padanya suatu perihal dagangan palsu merujuk kepada cap dagang berdaftar.

“Perihal barang dagangan palsu merujuk kepada barangan yang dicipta dan menggunakan cap dagang berdaftar.

“Perkara ini akan disabitkan kesalahan sekiranya terdapat laporan dari pemilik cap dagang mengatakan terdapat premis
menjual barangan palsu.

“Selain barangan elektronik, terdapat beberapa kes direkodkan berkaitan barangan palsu seperti pakaian dan sebagainya dicatat di negeri ini,” katanya ketika dihubungi MelakaKini.

CATEGORIES