Dari 649 bangunan kerajaan, 140 tiada FC

Dari 649 bangunan kerajaan, 140 tiada FC

AYER KEROH 26 Feb. – “Kira-kira 140 dari 649 bangunan milik kerajaan seluruh negara masih tidak mempunyai Sijil Perakuan Bomba (FC),” kata Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Mohammad Hamdan.

Mohammad Hamdan berkata, sehingga kini hanya 226 premis mempunyai sijil FC, manakala 283 masih dalam proses permohonan.

Menurutnya, jabatan bomba turut menyasarkan tiga premis akan diberi keutamaan memiliki sijil tersebut iaitu hospital, bangunan asrama dan juga lokasi perhimpunan secara berperingkat selewat- lewatnya hujung tahun ini.

“Usaha komited yang berterusan ini bukanlah untuk menyukarkan mana-mana pihak termasuk kementerian, kerana kita sedar ia turut memerlukan kos namun yang paling penting nyawa mereka yang berada di dalam bangunan kerajaan juga bernilai sama seperti mereka yang berada di bangunan swasta.

“Sebagai contoh, seperti kebakaran yang pernah berlaku di Hospital Sultan Aminah, Johor walaupun kebakaran berlaku di sebuah bilik kecil tapi melibatkan ramai pesakit.

“Kerana itu kita akan lakukan gerakan yang begitu agresif dengan memberikan fokus kepada tiga premis bangunan kekal kerajaan yang tiada ada sijil itu termasuk hospital,” katanya.

Muhammad Hamdan berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Pingat Kebesaran Jabatan dan Perkhidmatan Cemerlang 2018 negeri di Hotel Muzaffar, Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh, di sini, semalam.

Pada majlis itu, seramai 48 menerima anugerah termasuk 12 pegawai yang menerima Pingat Kebesaran Jabatan manakala selebihnya menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2018.

Jelasnya, menerusi mesyuarat yang melibatkan semua kementerian di Putrajaya baru-baru ini, turut akan memberi perhatian kepada perpustakaan dan stor am bangunan kerajaan selepas selesai status perakuan sijil di hospital, asrama dan juga lokasi perhimpunan.

CATEGORIES