Delegasi ISSA kagum kemajuan Pusat Rehab PERKESO TAR
Siapa kata Malaysia tidak hebat....

DURIAN TUNGGAL 20 Feb. – Seramai 45 delegasi Persatuan Keselamatan Sosial Antarabangsa (ISSA) dari 25 negara melawat ke Pusat Rehabilitasi PERKESO Tun Abdul Razak, di sini hari ini.
Lawatan itu diadakan selepas dua hari delegasi berkenaan bersidang di Kuala Lumpur untuk menjalani seminar teknikal ke arah digitalisasi.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Dr. Azlan Darus, tujuan lawatan tersebut diadakan ialah untuk memberi pendedahan kepada peserta mengenai teknologi-teknologi yang telah dilaksanakan di Pusat Rehabilitasi PERKESO, selain menunjukkan contoh bagaimana pusat itu mengalami perubahan ke arah digital.
“Daripada lawatan ini juga kita menunjukkan kepada peserta bahawa Malaysia tidak ketinggalan dalam arus perubahan yang mana kita mempunyai sebuah pusat rehabilitasi yang memiliki teknologi terbaharu dan terkini yang kita adaptasi daripada dunia digital masa kini.
“Kita menunjukkan kepada mereka bahawa kita sudah bersedia ke arah itu dalam usaha membantu pekerja-pekerja yang cedera untuk pulih dan kembali kepada masyarakat serta produktiviti,” katanya pada sidang media selepas lawatan.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Rehabilitasi PERKESO Tun Abdul Razak, Dr Hafez Hussain.
Mengulas respon yang diberikan para peserta hasil lawatan berkenaan, Azlan berkata, rata-rata delegasi menunjukkan rasa kagum terhadap teknologi yang digunakan pusat rehabilitasi ini dalam membantu proses pemulihan.
“Ramai antara mereka tidak tahu bahawa Malaysia sebenarnya lebih advance daripada kebanyakan negara lain. Bukan sahaja tentang teknologi, tetapi mereka juga memuji pendekatan yang kita gunakan di pusat rehabilitasi ini.
“Pendekatan rehabilitasi yang kita gunakan di sini adalah berbeza yang mana kita bukan sahaja memberi fokus terhadap klinical dan fizikal rehab sahaja, bahkan kita turut mementingkan aspek sosial, kemasyarakatan, integrasi budaya dan agama. Perkara ini memang kita buat dengan begitu teliti berbanding pusat rehabilitasi lain,” katanya lagi.