‘Dengan berat hati, saya letak jawatan sebagai Ketua Pembangkang’

AYER KEROH 2 Mac – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron secara berseloroh mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Ketua Pembangkang berkuat kuasa hari ini.
Pengumuman itu dibuat ekoran, Barisan Nasional bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kini telah memperoleh majoriti yang cukup untuk membentuk kerajaan negeri yang baharu di bawah nama Perikatan Nasional.
“Terima kasih banyak kerana terus bersama hingga hari ini dan saya nak buat pengumuman menyedihkan. Dengan berat hati, saya letak jawatan sebagai Ketua Pembangkang,” katanya.
Pada masa sama, Idris turut merakamkan ucapan terima kasih kepada rakan-rakan dari Barisan Nasional (BN) dan kerajaan sebelum ini yang disifatkan sebagai membantu beliau menjadi Ketua Pembangkang yang berkesan.
“Yang dahulu usulkan untuk halau saya, saya maafkan. Kita forgive and forget.
“Dengan Norhizam (yang sudah sertai Perikatan Nasional) pun saya dah tak boleh panggil ‘beliau’ lagi. Lepas ini saya akan panggilnya sebagai Datuk Norhizam Hassan Baktee,” katanya berseloroh.