Denggi tak jejas industri pelancongan Melaka

Denggi tak jejas industri pelancongan Melaka

AYER KEROH 22 Feb. – “Biarpun terdapat peningkatan wabak denggi di sini, namun ia sama sekali tidak menjejaskan industri pelancongan di Melaka,” jelas Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan, Datuk Muhamad Jailani Khamis.

Menurutnya, pihaknya bersama beberapa agensi termasuk Jabatan Kesihatan negeri dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) sentiasa bekerjasama dengan mengadakan semburan asap secara berkala di kawasan tumpuan pelancong.

“Kedatangan pelancong ke Melaka tidak terjejas meskipun kes denggi di negeri ini meningkat.

“Hasil semburan asap secara berkala, kita dapati ia berkesan. Alhamdulillah semua berjalan dengan lancar.

“Saya juga telah mengarahkan MBMB agar membuat kutipan sampah longgok yang terdapat di sekitar kawasan tumpuan pelancong termasuk di persisiran Sungai Melaka mengikut jadual yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada MelakaKini ketika diminta mengulas berkaitan peningkatan wabak denggi yang mencecah 200 peratus dengan 236 kes denggi direkodkan sehingga 9 Februari lalu, berbanding 79 kes direkodkan tahun lalu dalam tempoh masa yang sama.

Muhammad Jailani memberitahu, penularan wabak denggi itu disebabkan iklim peredaran hujan dan panas yang tidak menentu, malah cuaca panas berpanjangan baru-baru ini dilihat agak kritikal.

“Seperti kes-kes yang berlaku di kediaman penduduk, kita sarankan agar mereka memeriksa tangki air di rumah individu yang menjadi elemen utama dalam penularan ini.

“Inisiatif ini perlu dilaksanakan bagi membendung pembiakan jentik-jentik yang merupakan salah satu faktor habitat spesies itu membiak,” katanya.

CATEGORIES