Derita warga emas dapat perhatian

Derita warga emas dapat perhatian

GADEK 24 Jan. – Seorang warga emas yang menderita penyakit ‘Divertikular’ mendapat perhatian Kelab Kebajikan dan Kemasyarakatan Antagonis DG.

Mohd Isa Arshad, 83, menghidapi penyakit itu sejak dua bulan lalu dan telah mendapatkan rawatan di Hospital Melaka (HM).

Setiausaha Kelab Kelab Kebajikan dan Kemasyarakatan Antagonis DG, Shaidah Baharuddin berkata, keadaannya yang uzur menyebabkan salah seorang anaknya, Siti Hawa, berpindah ke rumah Mohd Isa untuk menjaganya.

“Pakcik Isa masih boleh bercakap seperti biasa, tetapi urusan makan, minum dan memandikannya perlu diberikan perhatian rapi oleh anak-anak.

“Dia tidak boleh uruskan diri sendiri kerana kesihatannya tidak stabil dan badan semakin lemah,” katanya kepada MelakaKini.

Mohd Isa yang juga penerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan bantuan makanan dari Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) perlukan lampin pakai buang yang banyak setiap bulan kerana penyakit dihidapinya itu.

Ujar Shaidah, selain bergantung wang bantuan JKM, anaknya turut bantu menanggung kos rawatan Mohd Isa.

“Bagaimanapun, anak-anak juga punyai komitmen masing-masing dan hanya membantu apa yang termampu saja.

“Kerana itu kami terpanggil untuk membantunya khususnya dengan menyumbangkan lampin pakai buang dan barangan keperluan lain,” katanya.

Sementara itu, Mohd Isa bersyukur kerana keadaannya mendapat perhatian pihak berkenaan dan mengucapkan terima kasih kerana sudi membantu meringankan bebannya dan anak-anak.

CATEGORIES