Di Taman Tema Samudera : Kapal Mendam Berahi bakal dibina

Di Taman Tema Samudera : Kapal Mendam Berahi bakal dibina

BANDAR HILIR 8 Feb. – Kerajaan negeri merancang membina ‘Kapal Mendam Berahi’ di Taman Tema Samudera yang akan ditempatkan di Klebang bagi menambahkan koleksi pelancongan sedia ada.

Exco Pelancongan & Kebudayaan, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, setakat ini cadangan mengenai reka bentuk kapal yang pernah digeruni armada musuh itu telah disiapkan.

Bagi tujuan tu, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Wong Fort Pin bersama pegawai berkaitan akan mengetuai satu delegasi ke Makasar, Indonesia bagi mengumpulkan maklumat
dan sebagainya berhubung pembinaan projek tersebut dalam masa tersekat ini.

Katanya, lawatan kerja itu juga bagi memantau dan mengambil maklum tujuh buah muzium di bawah Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) yang berada di luar negara seperti di Medan, Acheh,
Jakarta, Palembang, PekanBaru dan lain-lain lagi.

Jelasnya, ianya supaya segala info berkaitan keagungan tamadun Melaka suatu ketika dahulu dapat dikembalikan atau dipamerkan sama ada dalam bentuk asli mahupun replika.

Menurutnya, ia begitu penting kerana kewujudan kapal itu menjadi bukti kukuh mengenai zaman kegemilangan empayar Maritim Melaka.

“Malah, hasil kajian pengkaji mendapati, Mendam Berahi sepanjang 54.8 meter itu akan dicadang untuk membina ruangan galeri bagi menambahkan info kepada pengunjung,” katanya.

Muhammad Jailani berkata demikian kepada media selepas menghadiri perasmian Tarian Singa sempena Tahun Baharu Cina (TBC) 2019 di Hotel Equatorial di sini, Rabu lalu.

Fort Pin mewakili Ketua Menteri, Adly Zahari hadir merasmikan program itu. Turut hadir, Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong.

Hadir sama, Pengarah Kementerian Pelancongan, Seni & Budaya (MOTAC) Negeri, Jefri Munir & Pengurus Besar Hotel Equatorial, Datuk Syed A. Rahaman AlKaff.

Muhammad Jailani berkata, dalam masa sama pihaknya dalam proses mencari individu yang berkemahiran dan pakar dalam pembuatan kapal bagi merealiasikan produk pelancongan itu.

“Perancangan produk pelancongan bersebelahan kapal selam itu sebenarnya menyelar kenyataan segelintir pihak bahawa kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) hanya meneruskan projek yang telah
dirancang kerajaan terdahulu sedangkan ini idea baharu kita.

“Kita meletakkan keyakinan ia akan dapat memperkasakan lagi sektor pelancongan negeri ini dan akan berjaya menonjolkan
sejarah kehebatan Melaka,” tegasnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia berkata, perbezaan kerajaan negeri PH pada hari ini, apabila
melibatkan semua wakil rakyat dalam setiap delegasi sektor pelancongan ke luar negara.

Ini kerana pihaknya percaya masing-masing berperanan besar untuk menyumbang kepada sektor ini selain wakil-wakil agensi kerajaan yang lain.

“Seperti delegasi ke Makasar tidak lama lagi akan disertai wakil Jabatan Kesenian dan Kebudayaan, Institut Seni Malaysia Melaka (ISMMA), Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai (PPSPM)
dan banyak lagi,” katanya.

CATEGORIES