‘Dining Skills’ tampil keberanian pelajar

MERLIMAU 14 Mac – Kemahiran mengendalikan peralatan di meja makan menampilkan keberanian seseorang individu itu berhadapan dengan masyarakat.
Konsultan Dining Skills Politeknik Merlimau Melaka (PMM), Muhammad Fahmi Md. Sabri berkata, kepentingan mempelajari etika di meja makan tidak mengira latar belakang pendidikan dan pekerjaan.
Katanya, untuk berjaya sebagai ‘Dining Skills Consultant’ adalah sukar, kerana perlu melalui pelbagai peringkat saringan seperti sesi latihan dan ujian kompetensi.
“Kejayaan saya diiktiraf pada tahun 2018 oleh Academy of Communication, Etiquette and Protocol (ACCEPT).
“Ia merupakan modul bertaraf antarabangsa iaitu International Soft skills Standard and Testing (IITTI) di Vancouver, Canada,” katanya selepas program Certified Dining Skills Consultant (CDSC) di PMM, semalam.
Ujarnya, walaupun bergelar pelajar, kemahiran etika makan perlu dipraktikkan sebagai nilai tambah dalam proses pembelajaran di institusi pengajian tinggi (IPT).
“Ia penting bagi pendedahan dalam mengurus peralatan di meja makan ketika menghadiri majlis atau jamuan makan.
“Selain itu, ia juga menyentuh mengenai tatacara bagaimana untuk berpakaian mengikut tema yang ditetapkan semasa menghadiri majlis,” katanya.
Muhammad Fahmi turut bercadang bagi membangunkan satu modul kursus yang menarik untuk rujukan orang awam terutama buat pelajar.
Mengikut rekod, Muhammad Fahmi juga pernah menerima pentauliahan sebagai Halal Trainer oleh Halal Development Corporation (2010) dan Asean National Trainer for Food and Beverage (2017) oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia.
Kejayaan itu, dilengkapkan apabila dia terlibat sebagai salah seorang panel pembangun Modul Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) bagi Operasi Servis Makanan dan Minuman Level 2 & 3.