Dua beradik terlibat kemalangan di AMJ masih trauma

BACHANG 24 Jan. – Dua beradik tercedera yang diselamatkan dalam kemalangan di Lebuh Raya Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) masih dalam keadaan trauma berhubung insiden kemalangan berlaku pada malam 20 Januari lalu.
Exco Wanita, Hal Ehwal Kebajikan dan Pembangunan Luar Bandar, Ginie Lim Siew Lin berkata, dia dimaklumkan datuk dan nenek mangsa bahawa cucunya, Muhamad Amirul Asyraf Mohd Fairuz , 4, kelihatan trauma dan akan memeluk neneknya apabila dikelilingi orang yang datang melawatnya.
Menurutnya, kakak kepada mangsa, Nurul Fatehah Adelia, 7, masih dirawat di Unit Penjagaan Rapi (ICU), Hospital Besar Melaka selepas menjalani pembedahan dan adiknya dirawat di wad biasa hospital berkenaan.
Ujarnya, Pegawai Psikologi Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) Melaka Tengah telah melakukan intervensi kes di hospital sama.
Jelasnya, intervensi kedua akan dilaksanakan sebaik sahaja kedua mangsa pulang ke rumah yang berada di Melaka, namun sekiranya mangsa memilih untuk pulang ke rumah di Batu Pahat, Johor, PKMD Batu Pahat akan mengambil tanggungjawab menjalankan intervensi berkenaan.
“Pada lawatan ini, kedua belah keluarga Allahyarham ibu dan bapa mangsa masih menunggu di hospital dan mereka bersepakat agar kedua beradik berkenaan berada di bawah penjagaan datuk dan nenek sebelah ibunya.
“Takziah kepada keluarga mangsa dan saya doakan kedua beradik ini cepat sembuh dan tabah terhadap dugaan yang diberi,” katanya.
Pada kemalangan di Lebuh Raya AMJ arah Muar ke Serkam baru-baru ini telah melibatkan dua kereta bertembung membabitkan kedua ibu bapa mangsa antara tiga yang maut dalam insiden itu.
Dalam kejadian kira-kira 8.15 malam itu, Mohd Fairuz Haron, 30-an, dan isteri, Iziani Abu Bakar, 34, yang menaiki Proton Saga FLX serta pemandu lelaki Perodua Myvi, Lee Boon Yong, 22, maut di lokasi kejadian.
Kemalangan dipercayai berlaku apabila Perodua Myvi dari Melaka menghala ke Muar terbabas masuk ke laluan bertentangan lalu merempuh Proton Saga FLX dipandu Mohd Fairuz.