Dua lelaki ditahan, polis rampas dadah bernilai hampir RM300,000

AYER KEROH 18 Feb. – Kegiatan dua lelaki yang baharu ‘berjinak-jinak’ dalam aktiviti pengedaran dadah tumpas selepas dicekup bersama dadah bernilai hampir RM300,000 dalam serbuan di sebuah rumah di Ayer Limau, Masjid Tanah kelmarin.
Kedua-dua suspek, masing-masing berusia 36 dan 50 tahun itu ditahan bersama dadah dipercayai jenis syabu dan pil ectasy dalam rumah terbabit yang dipercayai milik keluarga suspek berusia 36 tahun..
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Melaka, Superintendan Zulkiflee Rashid berkata kejayaan tersebut adalah hasil risikan dan siasatan pihaknya terhadap aktiviti pengedaran dadah didalangi kedua-dua warga tempatan di kediaman berkenaan.
“Kita merampas dadah dipercayai jenis syabu seberat 5.55 kilogram (kg) dan 460 pil dadah jenis ectasy disorokkan di ruang tamu dan dalam sebuah bilik di rumah itu.
“Nilai keseluruhan rampasan dadah dianggarkan bernilai RM291,000 dan kita turut merampas dua kereta jenis PROTON Saga dan PERODUA Kancil bernilai RM25,500 serta wang tunai berjumlah RM3,000,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di sini hari ini.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek berusia 36 tahun tidak mempunyai rekod jenayah lampau manakala suspek kedua memiliki lima rekod jenayah lampau membabitkan dadah.
“Ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan siasatan lanjut mendapati kedua-dua mereka baharu sahaja berkecimpung dalam aktiviti pengedaran sejak sebulan lalu,” jelasnya.
Zulkiflee berkata kedua-dua suspek direman selama lima hari sehingga Jumaat ini untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.