DUN Kota Laksamana wujud TBH

DUN Kota Laksamana wujud TBH

BANDARAYA MELAKA 24 Sept. – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Laksamana, Low Chee Leong menyediakan peruntukan untuk membuka akaun kepada bayi-bayi yang baru dilahirkan menerusi Tabung Bayi Harapan (TBH).

Menurutnya, TBH yang diwujudkan menerusi program khidmat masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Laksamana bermatlamat sebagai penghargaan kepada ibu bapa bayi tersebut.

“RM200 secara ‘one off’ diperuntukkan kepada setiap akaun baru TBH melibatkan bayi baru dilahirkan di mana kedua ibu bapa bayi terbabit merupakan pengundi di DUN tersebut,” katanya sempena Pesta Tanglung di Kampung Morten di sini, Ahad lalu.

Hadir sama, Pengarah Urusan Mamee Double Decker (M) Berhad, Datuk Gary Choo Kok Sen; ahli jawatankuasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) serta penduduk kampung terbabit.

Chee Leong yang juga Exco Kesihatan dan Anti Dadah berharap semangat perpaduan antara kaum dapat dipupuk serta dieratkan di bawah pimpinan kerajaan baharu menerusi pelbagai aktiviti kebudayaan atau pesta yang dianjurkan.

Pada majlis tersebut, Chee Leong bersama penduduk Kampung Morten berarak sambil membawa tanglung mengelilingi kampung terbabit sambil melawat beberapa rumah tradisional terdapat di kampung itu.

CATEGORIES