Elak situasi ‘terlepas pandang’

AYER KEROH 20 Feb. – Ahli Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dinasihat menjadi mata dan telinga kerajaan bagi memastikan tiada kebajikan rakyat di negeri ini terabai.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal, Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab berkata, peranan MPKK sebagai ‘orang tengah’ kerajaan merupakan penggerak penting supaya hasrat kerajaan membantu golongan tertindas dan memerlukan dapat dibela.
Beliau yang juga Exco Pengangkutan dan Kemudahan Awam negeri berkata, ahli MPKK juga perlu lebih kerap turun ke padang meninjau situasi masyarakat bagi menggelakkan situasi ‘terlepas pandang’, selain mengenal pasti golongan yang disasarkan.
“Jadi, kalau mereka ini lakukan kerja dengan baik, maka sudah tentu kita dapat mengenal pasti semua mereka yang terdiri daripada golongan memerlukan.
“Sekarang ini tugas mereka ialah masuk ke pelusuk kampung dan mengenal pasti mereka yang memerlukan bantuan, jika tidak kerajaan dan pihak Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelaras (Japerun) sukar mengetahui (menyampaikan bantuan) golongan sasar yang memerlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan katil kepada pesakit kronik di Durian Tunggal, semalam.
Mohd Sofi berkata, pihaknya kini sedang mengumpulkan data pesakit kronik yang memerlukan bantuan menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Peduli dan Prihatin anjuran Japerun Durian Tunggal.
“Kita akan mencari dan mengenalpasti mereka yang memerlukan bantuan dan sebagainya dan akan membantu meringan beban yang dihadapi,” katanya.