Ella rai pemuzik tempatan

PENYANYI rock tersohor tanah air, Ella mengundang seramai 200 pemuzik bagi mengiringi persembahannya sempena majlis Kitalah Bintang di The Love @Matic.
Menariknya, inisiatif tersebut berjaya memecahkan rekod peribadi Malaysia Book Of Records.
Empunya nama sebenar Nor Zila Aminuddin berkata, majlis tersebut diadakan sempena konsert Ella Unplugged yang akan diadakan di Istana Budaya (IB) Mac nanti.
“Saya mengundang mereka untuk meraikan pemuzik-pemuzik tempatan dari pelbagai latar belakang dan tidak pernah terfikir tentang rekod tersebut.
“Mereka turut dikumpulkan untuk memberikan pengalaman bermain muzik ‘live’ beramai-ramai,” katanya.
Terdahulu, penyanyi popular menerusi lagu Layar Impian ini pernah mencipta rekod sebagai penyanyi pertama mengundang 100 pemuzik pada sidang akhbar Konsert Ella 2016 tiga tahun lalu.
Dalam pada itu, penyanyi berusia 52 tahun itu bersyukur dengan penjualan tiket konsert Ella Unplugged In KL yang menggalakkan.
“Sudah tentu saya mahu memberikan yang terbaik kepada peminat sewaktu mengadakan konsert nanti. Banyak yang telah dirancang khusus untuk peminat setia saya,” katanya.
Konsert Ella Unplugged In KL bakal diadakan di IB pada 29, 30 dan 31 Mac 2019.
Tiket-tiket bermula daripada RM179 hingga RM519 boleh didapati menerusi www.proticket.com.my.