Empangan Jerneh: Penduduk bakal terima limpahan ekonomi
Alhamdulillah....

LUBOK CINA 19 Mac – Penduduk Kampung Sungai Jerneh, FELCRA Ramuan Cina Kecil, Kampung Sungai Siput dan Lubok Cina, dekat sini bakal menerima limpahan ekonomi hasil pembinaan Empangan Jerneh.
Berdasarkan lokasi empangan terlalu hampir dengan Kampung Sungai Jerneh dan Tanah Rancangan FELCRA itu, ekonomi penduduk bakal meningkat berikutan peluang perniagaan yang terbuka luas, khususnya dalam bidang makanan dan inap desa.
Bekas Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sungai Jerneh, Jaafar Atan, 57, berkata, pembinaan empangan itu bakal membawa ratusan pekerja tempatan dan asing yang memerlukan tempat makan dan penginapan.
“Kami menjangka rumah kosong di kampung ini akan disewa majikan pekerja sektor pembinaan dan begitu juga dengan gerai makan yang dijangka bertambah.
“Selama ini kampung ini terlalu sunyi daripada kunjungan orang luar kerana lokasinya yang agak terpencil kira-kira tiga kilometer (km) dari pekan Lubok Cina dan 15 km dari pekan Masjid Tanah.
“Bagaimanapun, dengan adanya pembinaan empangan itu, kami menjangka lebih ramai orang luar akan datang ke sini sama ada untuk bekerja atau melihat keindahan empangan itu dari puncak bukit di kampung ini,” katanya ketika ditemui di kampung itu hari ini.
Jaafar berkata, kehadiran pelancong tempatan dan asing menawarkan peluang untuk penduduk menyediakan inap desa, khususnya untuk pelancong yang gemar menyaksikan keindahan alam semulajadi berkonsepkan hutan dan tasik buatan manusia.
Katanya, peluang berkenaan tidak akan dilepaskan anggota komuniti tempatan kerana ia dijangka memberikan pulangan munasabah kepada pengusaha inap desa, gerai makan dan seumpamanya.
Kajian beberapa agensi kerajaan sejak cadangan pembinaan empangan itu timbul pada lewat 1980-an mendapati bumi berkenaan mengandungi banyak sumber mata air yang dikenali penduduk tempatan sebagai ‘bonda’ yang menjadikan kawasan itu amat sesuai dimajukan dengan empangan, katanya.
Ketua Menteri Datuk Sulaiman Md Ali dilaporkan berkata, tawaran sebut harga pembinaan empangan bernilai RM200 juta itu akan dibuat bulan depan dan ia membabitkan tempoh pembinaan selama 30 bulan.
Katanya, projek berkenaan harus segera dilaksanakan selepas tertangguh beberapa kali sebelum ini, selain keadaan semasa yang amat memerlukan empangan baru dibina sebagai pelengkap tiga empangan sedia ada bagi memenuhi permintaan domestik.
Empangan itu mampu menyimpan 13,000 juta liter air pada satu-satu masa dan bakal memenuhi permintaan pengguna yang semakin meningkat, selain membantu mengatasi isu catuan air.
Kerja pembinaannya dijangka berjalan selama 30 bulan dan apabila siap kelak, ia membantu mengekalkan bekalan air secara konsisten menjelang 2030, katanya.