Empat bekas pemain Singa Utara perkuat SAMB FC

EMPAT bekas pemain Perlis, Mohamad Fakhrullah Rosli, Jasmir Mehat, Mohd Yusri Abas dan Muhammad Sabri Adam masing-masing mengikat kontrak semusim bersama SAMB FC, selepas skuad Singa Utara digugurkan dari Liga Malaysia (Liga-M) akibat gagal menyelesaikan isu kewangan tempoh hari.
Kesemua mereka yang juga anak jati Melaka menandatangani kontrak ditawarkan sebagai ayam tambatan baharu skuad air sejak 18 Februari lalu.
Berdasarkan rekod, Mohd Fakhrullah, Mohd Yusri dan Muhammad Sabri pernah beraksi bersama SAMB FC semasa saingan 2016/2017.
Manakala Jasmir pula merupakan bekas pemain Melaka United (MU) sehingga 2017, sebelum berkhidmat untuk Terengganu City pada 2018 dan menandatangani kontrak bersama Perlis pada 2019.
Menurut Pengurus Pasukannya, Fairullizam Ishak, keempat pemain itu sudah tidak lagi asing dalam arena bola Melaka dan menjadi nilai tambah kepada pasukannya untuk menduduki tangga lima terbaik dalam saingan Liga M3 musim ini yang dijangka bermula Mac depan.
Katanya, gandingan keempat pemain itu akan diuji pada aksi Piala FA bertemu Tun Razak FC di Stadium Mini Raja Muda, Ahad ini.
“Selepas mendengar berita tunggakan gaji pemain, SAMB FC tidak menunggu lama menawarkan kontrak kepada mereka dengan bayaran gaji yang munasabah, kesemuanya bersetuju berkhidmat selama semusim bermula 18 Februari lalu.
“Dengan kemasukkan mereka musim ini, sasaran saya dalam saingan Liga M3 secara realistiknya ialah lima terbaik, namun kita berharap dengan kekuatan baharu ini SAMB FC mampu menduduki carta tiga terbaik musim ini,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.
Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dalam mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah dalam kenyataannya 20 Februari lalu, sebulat suara membatalkan penyertaan skuad Singa Utara.
Keputusan tersebut dibuat selepas meneliti secara terperinci dokumen kewangan yang diserahkan Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) pada tarikh akhir Isnin lalu (18 Februari 2019).
Berdasarkan dokumen kewangan berkenaan, Ahli Lembaga Pengarah MFL mendapati sumber pendapatan PFA termasuk dari penajaan berdasarkan perancangan kewangan mereka tidak mencukupi untuk menguruskan pasukan bersaing dalam Liga M musim ini.