Fahami istilah wang tidak patuh syariah

SEBAGAI sebuah organisasi ulung yang bertanggungjawab mentadbir dan memegang amanah harta-harta orang Islam, Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) berperanan untuk menyampaikan maklumat dan pengetahuan kepada seluruh umat Islam berkenaan peri pentingnya mengurus harta secara bijaksana sebagaimana yang dituntut oleh hukum syarak.
Hal ini bertepatan firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 188 yang bermaksud: “Dan janganlah kamu makan harta-harta sesama kamu dengan jalan yang batil dan janganlah kamu membawa (urusan) harta itu kepada hakim-hakim dengan tujuan supaya kamu dapat memakan sebahagian dari harta orang lain dengan cara yang berdosa, sedangkan kamu mengetahui”.
Pelbagai cabang pengurusan harta Islam telah diteroka dan diterjemahkan dengan sebaiknya yang mana hasilnya dapat direalisasikan untuk manfaat seluruh umat Islam negeri ini.
MAIM sentiasa akan memastikan aplikasi pelaksanaan sesuatu perkhidmatan itu dikaji dari segenap segi bagi tujuan perjalanan atau proses perkhidmatan yang dilaksanakan sentiasa bersandarkan kepada hukum syarak.
Mengambil pendekatan di atas, salah satu terimaan yang diperolehi di MAIM adalah melalui serahan wang tidak patuh syariah.
Wang tidak patuh syariah boleh dikatakan sebagai istilah baru bagi mengambil pakai penggunaan nama wang haram atau wang syubhah yang bersesuaian dengan arus kemodenan masyarakat ketika ini.
Penyerahan wang berkenaan kepada Bahagian Baitulmal MAIM merupakan pilihan cara pelupusan yang utama, selamat dan meyakinkan serta mampu menyumbang kepada peningkatan sosio-ekonomi umat Islam.
Ahli fiqh mutakhir ini mentakrifkan harta tidak patuh syariah ialah harta yang dimiliki dan diperolehi melalui wasilah yang tidak diiktiraf oleh syarak seperti rompakan, rampasan, hasil jualan barang curi dan rasuah.
Selainnya pula adalah Wang melalui perjudian dan loteri, transaksi riba, perlindungan insurans konvensional, keuntungan pelaburan di dalam sekuriti tidak patuh syariah dan seumpamanya.
Kepada orang ramai yang mengetahui lebih lanjut berkenaan wang tidak patuh syariah boleh hubungi MAIM di talian
06-2837416/06-2849809 atau layari laman sesawang di www.maim.gov.my.